Orang Melayu perlu sertai NGO
Sun, Dec 20, 2009
Oleh Nor Ani Karma
SERI ISKANDAR – Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, untuk menjadi bangsa Melayu yang kuat, mereka perlulah mengubah pendirian terhadap badan bukan kerajaan (NGO) dan menyertai badan berkecuali yang ada di negara ini.
“Jangan takut dengan NGO dan kena sertai seberapa banyak NGO yang boleh supaya komunikasi kita tidak terbatas.
“Ada orang yang bimbang untuk bercakap kerana takut menyentuh mana-mana kepentingan.
“Sebab itulah kita perlu menyertai NGO kerana ia tidak berdasarkan mana-mana kepentingan,” katanya pada majlis Pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak, di Universiti Teknologi Petronas, di sini, semalam.
Sanusi berkata, melalui Perkasa itu, orang Melayu bebas untuk berpersatuan dan bercakap bagi mewujudkan sebuah negara yang kukuh.
“Orang melayu perlu mengubah sikap mereka kerana pada masa kini Melayu berada di pelbagai peringkat di mana ada yang hidup mewah dan kemewahan itu membawa kepada sikap tamak yang membawa kepada pemikiran untuk menambah kekayaan sahaja.
“Di sinilah Perkasa boleh memainkan peranan untuk mententeramkan kegelisahan di dalam diri masyarakat,” katanya.
Sementara itu presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata jika modul asas BTN mahu diubahsuai ia mestilah berlandaskan kepada prinsip asas Perlembagaan Negara.
“Asas perlembagaan negara ialah berdasarkan rukun negara yang mesti dipatuhi oleh semua pihak dalam memperkasakan jati diri tidak kira apa jua bangsa.”
Menurutnya, Perkasa juga akan menggesa kerajaan supaya meletakkan syarat kepada setiap mahasiswa, mereka yang memohon pekerjaan dalam sektor awam dan juga penjawat awam diwajibkan menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN).
Menyentuh konvensyen PR semalam, beliau berkata jika dilihat dasar yang dibentangkan ia menunjukkan dasar sama rata yang nampak ideal tetapi mungkin tidak sesuai untuk masa depan negara.






Leave a Reply