Perkataan "Allah" : Hormati keputusan mahkamah – Isna
Thu, Jan 7, 2010
Persatuan Islam Amerika Utara (Isna) menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu, yang membenar masyarakat Kristian menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan mereka.
"Keputusan mahkamah itu sebagai mengesahkan kebebasan beragama dan hak masyarakat Kristian menggunakan perkataan "Allah" menggantikan "Tuhan" dalam Bahasa Malaysia," kata Isna dalam satu kenyataannya.
Dalam kenyataannya, Isna yang berpangkalan di Plainfield, Indiana, Amerika Syarikat berkata, keputusan ini juga membatalkan larangan kerajaan dalam tahun 2007 menggunakan perkataan itu dalam kesusasteraan agama Kristian.
"Golongan yang menentang penggunaan perkataan "Allah" bagi merujuk kepada Tuhan berhujah bahawa perkataan "Tuhan" pada kebiasaannya digunakan oleh rakyat Malaysia yang bukan Islam, bukan "Allah". Mereka menegaskan bahawa perkataan "Allah" hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam Islam.
Hujah ini bercanggah dengan amalan dan kefahaman Islam. Al Quran agak jelas menerangkan orang-orang Islam menyembah Tuhan yang sama dengan Tuhan yang diiktiraf oleh orang-orang Kristian.
Al Quran memerintah orang-orang Islam supaya mengisytihar bahawa Tuhan yang mereka sembah dan yang disembah oleh pengikut -pengikut kitab samawi termasuk Kristian, adalah satu: "… dan berkata: Kami yakin tentang apa yang diwahyukan kepada kami dan
kepada kamu, dan Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu, dan kepada Dia kami menyembah." (Quran 29:46)
Mengikut sejarah dan amalan tradisi, orang-orang Arab Kristian menggunakan perkataan "Allah" untuk merujuk kepada Tuhan dalam sumber-sumber agama mereka sejak kedatangan Islam. Hal keadaan ini tidak pernah dicabar oleh individu Muslim maupun kerajaan Islam.
Kata kenyataan itu, "undang-undang Islam jelas memperakui pengikut ajaran Kristian mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka mengikut ajaran mereka"
"Kami menyeru kepada kerajaan Malaysia supaya mendokong kebebasan beragama bagi masyarakat Kristian dan agar menghormati keputusan mahkamah itu.
"Kami juga menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam menghormati ajaran Islam dan menarik balik penentangan terhadap penggunaan perkataan "Allah" oleh sahabat Kristian mereka," tambah kenyataan itu.






Leave a Reply