Maradona: Amerika Selatan Sukar Saingi Eropah
Mon, Jun 28, 2010
Kejohanan Bolasepak Piala Dunia
PRETORIA: Jurulatih Argentina, Diego Maradona percaya benua Amerika Selatan tidak akan dapat menyaingi Eropah meskipun kejayaan gemilang benua itu dalam kancah Piala Dunia mempunyai lima wakil dan kelima-limanya mara ke saingan kalah mati dengan empat daripadanya sebagai juara kumpulan.
Sementara itu, gergasi Eropah, Itali dan Perancis bukan saja tersingkir tetapi menamatkan saingan di tempat tercorot dalam kumpulan yang turut dihuni negara kerdil seperti New Zealand dan Afrika Selatan. Tujuh daripada 13 wakil Eropah berputih mata dalam saingan kumpulan dan hanya Jerman, Sepanyol dan Belanda muncul juara kumpulan.
“Saya tidak fikir kami akan menjadi gergasi yang lebih besar daripada Eropah. Apa yang perlu kita lakukan adalah membina Amerika dan mendidik jurulatih supaya benar-benar faham bagi membolehkan lebih ramai anak-anak tampil.
“Kita tidak akan dapat menjadi lebih besar daripada Eropah tetapi kita mempunyai ramai pemain yang bagus.
“Amerika Selatan seharusnya meneruskan apa yang sudah mereka lakukan dan mengetahui dengan jelas bahawa kita menyediakan pemain untuk kelab di seluruh dunia dan pemain ini memperoleh wang yang banyak,” kata Maradona.
Sementara itu, pengendali Sepanyol Vicente Del Bosque tidak senang duduk sekalipun berjaya mengelak daripada bertemu Brazil dalam pusingan kedua Piala Dunia, tetapi terpaksa bertembung pasukan Portugal yang juga dinilai cabarannya sama buat juara Eropah itu, esok.
Selepas aksi goyah pada permulaan kejohanan, Sepanyol kembali mendapat rentak dan berjaya mendaki ke puncak Kumpulan H manakala Brazil juga melakukan perkara sama dalam Kumpulan G.
Portugal, antara pasukan terkuat
Bosque berkata, Portugal antara pasukan yang terkuat dan tidak melihatnya sebagai kelegaan sekalipun kami bukan bertemu Brazil.
Menurutnya, apa yang menjadi kelegaan buatnya adalah bagaimana pasukannya bangkit daripada kekalahan mengejut 1-0 kepada Switzerland dan kemudian mencatat kemenangan 2-0 ke atas Honduras sebelum menumpaskan Chile yang beraksi sepuluh pemain, 2-1.
Sepanyol bakal melalui perlawanan itu dengan khabar pemain tengah Real Madrid, Xabi Alonso dijangka mampu kembali cergas daripada kecederaan buku lali namun pertahanan tengah tetapi Raul Albiol masih dalam keraguan selepas mengalami kecederaan tulang kering ketika sesi latihan kelmarin.
Partugal akan bertemu Sepanyol pada pagi Rabu ini manakala Belanda akan menentang Slovakia pada pukul 10 malam ini serta pagi esok Brazil akan bertemu Chile pada pukul 2.30 pagi dalam pusingan kalah mati.
Keputusan perlawanan semalam, Jerman membelasah England 4-1 sekaligus menghancurkan harapan England untuk mara ke pusingan seterusnya dan Ghana membaham Amerika Syarikat dengan kemenangan 2-1.
Dalam satu lagi perlawanan awal pagi tadi, Carlos Tevez menyumbat dua gol dan Gonzalo Higuain menjaringkan satu gol untuk membantu Argentina menewaskan Mexico 3-1 di Johannesburg untuk layak ke suku akhir.






Leave a Reply