A A
Tuesday, September 7th, 2010

Kes bakar gereja: Tertuduh ke-3 bebas, adik beradik diarah bela diri

Fri, Jul 30, 2010

Dalam Negeri

gereja31 Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan tertuduh ketiga (OKT3) daripada dakwaan terlibat dalam kes bakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati disini 7 Januari lalu.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membebaskan Azuwan Shah Ahmad, 23, kerana tidak dapat dibuktikan dengan jelas melalui keterangan saksi dan bukti pendakwaan beliau ada kaitan dengan kes itu.

Komathy dalam penghakimannya berkata, keterangan yang diberikan saksi pada malam kejadian, Yong Choy Yee, 34, tidak dapat menggambarkan dan mengaitkan Azuwan sebagai rakan sejenayah yang terlibat dalam kejadian itu.

"Rakaman melalui rakaman CCTV terdapat sekumpulan lelaki berkumpul dan beredar ke tempat kejadian namun ia tidak menggambarkan OKT3 ada dalam kumpulan itu.

"Gambar yang diperoleh juga juga tidak dapat membuktikan OKT3 berada di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Komathy dalam penghakimannya menetapkan tarikh 10 hingga 13 Ogos depan bagi OKT 1 Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya Raja Mohamad Idzham, 22 (OKT2) untuk beri keterangan bagi membela diri.

Ini kerana pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kes ini.

Komathy berkata terdapat beberapa keterangan mengikut keadaan yang menguatkan prima facie pihak pendakwaan berdasarkan keterangan saksi pada malam kejadian termasuk keterangan rakan tertuduh, Mohd Razman Azmir Shaharran (SP12) dan Noor Sahli Nasrullah Bahariddin (SP13).

"Mengikut keterangan yang diberikan Razman dan Noor Sahli tertuduh ada di restoran Old Town White Coffee sebelum pergi ke tempat kejadian dan ini menguatkan dakwaan kes.

"Begitu juga kecederaan di muka dan badan OKT1 akibat kesan terbakar itu menepati dengan gambaran yang diberikan Yong bahawa beliau melihat seorang lelaki berlari keluar dari bangunan terbabit dengan rambut dan bajunya dijilat api," katanya.

Berikutan itu juga, hakim mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan saksi baru dipanggil memberi keterangan pada tarikh yang ditetapkannya itu.

Saksi bernama Hazman dan Zainal Abidin yang menunjukkan tertuduh tidak berada di tempat kejadian dan kecederaan yang diperoleh OKT1 akibat kecederaan membakar sampah di belakang rumah seperti dalam keterangan saksi pendakwaan ASP Tan Chek Yang akan turut dipanggil memberi keterangan.

Raja Mohamad Faizal dan adiknya Raja Mohamad Idzham bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja itu di Jalan 4/4C, Desa Melawati pukul 11.50 malam, 7 Januari lepas.

Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Azuwan yang juga kini diberhentikan kerja sebagai penghantar surat ketika ditemui pemberita selepas selesai penghakiman dilihat sebak sambil meluahkan rasa syukur dan gembira kerana dibebaskan daripada tuduhan.

"Saya rasa sangat bersyukur kerana dilepaskan daripada tuduhan fitnah. Ini kerana saya hanya duduk dan berjumpa dengan rakan saya di restoran Old Town White Coffee pada hari kejadian.

Ibunya, Mariam Mohd Yusof, 58, yang hadir bersama keluarga lain semasa ditemui pemberita di luar mahkamah juga bersyukur anaknya dilepaskan daripada sebarang tuduhan jenayah.

"Makcik tak mampu nak cakap apa-apa melainkan syukur kepada Allah. Gembira sangat. Mungkin lepas ini makcik mahu adakan majlis kenduri tahlil kesyukuran," katanya.

Leave a Reply

Follow Us On …