HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penubuhan parti baharu demi selamatkan Umno

-

Penganalisis berkata, kepimpinan Umno menghadapi masalah dan ia perlu diselamatkan kerana parti itu tunggak BN dan negara.

0
Shares
Total Views: 1
Dr-Ahmad-Atory-Hussain

PETALING JAYA :
Parti politik baharu berasaskan Melayu dan Bumiputera diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditubuhkan hanya kerana Umno kini bermasalah, kata penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain.

Malah, katanya tujuan sebenar parti politik baharu itu ditubuhkan ialah untuk menyelamatkan Umno kerana parti itu saja yang dianggap memerintah Malaysia.

“Saya rasa soal hendak menyelamatkan Malaysia ini memanglah. Biasanya kalau selamat Umno, selamatlah Malaysia. Sebab Umno tonggak BN dan negara ini.

“Selama ini Umno mendapat dua pertiga, BN dapat dua perempat iaitu 148 daripada 222 (kerusi Parlimen). Kalau kepimpinan Umno dan Melayu ini jatuh, susahlah negara ini,” katanya kepada FMT.

Selain itu, katanya tujuan parti itu ditubuhkan juga untuk membuat persediaan menumbangkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada Raya Umum ke-14.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin yang fokus penubuhan parti baharu itu nanti adalah untuk orang Melayu dan Bumiputera.

Sebelum ini, bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga berkata parti diterajui Muhyiddin itu berasaskan Melayu kerana mahu mengelak bersaing keahlian dengan parti pembangkang berbilang bangsa yang lain.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir pula berkata penubuhan parti baharu yang menumpukan kepada Melayu tidak akan kekal.

“Berdasarkan rekod sejarah, parti serpihan Umno tidak dapat bertahan selepas beberapa waktu. Apatah lagi matlamatnya yang mencetuskan dan menggerakkan penubuhan parti baharu kerana kekecewaan mereka terhadap seorang pemimpin.

“Jadi selepas beberapa waktu, mereka tidak akan dapat lagi bertahan. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, sebenarnya pemimpin yang betul-betul berwibawa diperlukan untuk menerajui parti ini yang setaraf dengan Anwar Ibrahim sebagai contoh.

“Saya ragu sedikit keupayaan Muhyiddin untuk menggerakkan parti ini dan seterusnya menambat ahli untuk menyokong parti ini. Jadi daripada segi itu, ke mana hala tuju parti ini amatlah diragui walaupun dia memperjuangkan soal Melayu dan selamatkan Malaysia,” katanya.

Katanya, kewujudan parti itu juga hanya akan melemah dan memecahkan lagi orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.