HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Riza dan Jho Low dipanggil bela diri di mahkamah AS minggu depan

-

Anak tiri perdana menteri dan jutawan kontroversi serta beberapa nama lain berpeluang mencabar tuntutan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mahu merampas aset-aset mereka.

0
Shares
Total Views: 1
riza-aziz-jho-low

PETALING JAYA:
Anak tiri perdana menteri, Riza Aziz dan jutawan Low Taek Jho, yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap 1MDB, akan dipanggil membela diri pada 22 Ogos ini, menurut peguam Zainur Zakaria.

Zainur berkata Riza dan Jho Low serta beberapa nama lain yang disebut dokumen DOJ berpeluang mencabar tuntutan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mahu merampas aset mereka.

“Kalau mereka tidak tampil ke mahkamah, mahkamah akan beri perintah untuk membolehkan kerajaan AS merampas aset-aset ini. Tetapi sekiranya mereka tampil ke mahkamah, mereka boleh lawan,” katanya ketika dihubung FMT.

Zainur merupakan peguam penasihat kepada bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam saman mereka terhadap Riza, Jho Low dan bank Goldman Sachs di Amerika Syarikat, memohon memohon ganti rugi atas kecurian wang daripada 1MDB.

Beliau bagaimanapun tidak yakin mereka akan hadir ke mahkamah bagi membela diri.

“Siasatan dari asas tuntutan itu dijalankan oleh FBI, siasatan mereka memang rapi dan teliti. Saya tidak fikir peguam kerajaan AS akan memfailkan tuntutan jika tidak cukup bukti kerana maruah negara itu akan menghadapi risiko,” ujarnya.

DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalah guna dan aset lain termasuk rumah mewah, hasil seni, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood “The Wolf of Wall Street” terbitan syarikat Riza.

Menurut Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch, sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion milik rakyat Malaysia dicuri.

Zainur berkata Husam dan Matthias mempunyai ‘local standi’ (asas) memfailkan tuntutan saman terhadap individu yang didakwa melarikan wang 1MDB.

“Duit yang mereka ambil ini melalui urusan transaksi di bank AS. Dalam kes 1MDB bukan sahaja urusan bank di AS, aset yang mereka beli adalah kebanyakannya di sana.

“Oleh itu, mahkamah AS ada bidang kuasa untuk bertindak sebab aset hasil duit ini berlaku di Amerika atau bertempat di Amerika,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.