![khalid-bersih-5-1](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fs3media.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2016%2F10%2Fkhalid-bersih-5-1.jpg&w=3840&q=75)
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, menerusi cara itu, penganjur mahu menunjukkan kepada masyarakat dunia kononnya anggota penguat kuasa di negara ini menyekat kebebasan rakyatnya untuk bersuara dan berhimpun.
“Nasihat saya patuhilah peraturan seperti terkandung dalam APA 2012, kenapalah susah sangat (patuhi peraturan). Mereka (penganjur) ini suka kalau nanti kita guna FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) bawa water cannon (penyembur air), mereka sukalah macam tu.
“Negara kita ini ada undang-undang, bukannya negara cowboy…kalau dia (penganjur) masih lagi kekal dengan keputusan melanggar undang-undang, maka bersedialah dengan tindakan undang-undang,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia 2016, hari ini.
Sambutan itu diadakan setiap tahun sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam yang berjaya menterjemahkan idea serta kreativiti dalam menghasilkan inovasi yang dapat memberi impak besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi itu.
Khalid berkata, penganjur disarankan mengikut saluran betul sebelum mengadakan sebarang perhimpunan, termasuk membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran bagi lokasi dipilih mereka.
“Peruntukan undang-undang memerlukan notis dikemukakan 10 hari sebelum perhimpunan dibuat, seterusnya dapatkanlah kebenaran tuan punya tempat, kalau tak bagi, banyak lagi tempat lain boleh dibuat, selain Kuala Lumpur. Jadi patuhilah peraturan, apa yang payah sangat?” katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan bekas menteri dan ahli Parlimen didakwa membocorkan rahsia kerajaan di Parlimen baru-baru ini, beliau meminta semua pihak, terutamanya penjawat awam berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Mereka kadang-kadang menggunakan Parlimen sebagai alasan boleh cakap (apa sahaja), namun apabila melibatkan rahsia kerajaan, maka kita perlu berhati-hati kerana banyak implikasinya apabila rahsia kerajaan didedahkan, di mana ia boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
“Saya ingin menasihatkan kakitangan kerajaan, sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang meninggalkan perkhidmatan supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap apa jua kenyataan yang mereka buat, kerana sekiranya mereka membocorkan rahsia kerajaan, maka tindakan boleh diambil,” katanya.
Mengulas seorang anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang didakwa melakukan kekasaran terhadap isterinya di Johor yang viral di media sosial baru-baru ini, beliau berkata, siasatan polis sedang dijalankan.
“Setakat ini, kita menerima 3 laporan yang dibuat terhadapnya, selain mendapati beliau terlibat dengan dadah, kini kita sedang mengesan (anggota itu) untuk ditahan,” katanya.
Mengenai persediaan polis dalam memastikan keselamatan perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad ini, beliau berkata, polis mempunyai anggota mencukupi untuk memastikan perlawanan itu berlangsung dengan aman dan sentiasa bersedia menangani apa jua ancaman.
“Kita janganlah buat perkara yang akan mengganggu orang lain, sama-samalah sokong pasukan masing-masing dengan cara yang betul, jangan buat cara tak bertamadun pula,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram