HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bekas pengurus bank BSI peroleh RM74 juta dalam tempoh 15 bulan

-

Menurut pendakwa raya, wang itu diperoleh Yeo Jiawei melalui ‘cara haram’ dalam transaksi yang dikaitkan dengan 1MDB.

0
Shares
Total Views: 1
Yeo-Jiawei-1

SINGAPURA:
Bekas pengurus bank swasta Switzerland, BSI, di Singapura, Yeo Jiawei memperoleh S$23.9 juta (RM74 juta) sebagai perantara dalam masa 15 bulan, mahkamah diberitahu hari ini.

Menurut pendakwa raya, wang itu diperoleh melalui “cara haram” dan “mengambil keuntungan secara rahsia” dalam transaksi dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad dan individu berkaitan dengannya.

Mereka termasuk hartawan Malaysia Jho Low, Eric Tan Kim Loong dan Mohamed Ahmed Badawy Al Husseiny, bekas ketua pegawai eksekutif Aabar Investment PJS.

Antara aset Yeo ialah 3 hartanah di Singapura bernilai S$6.150 juta dan 2 hartanah di Australia bernilai S$6.3 juta, menurut satu laporan dalam Straits Times (ST).

Yeo dibicarakan atas 4 pertuduhan menghalang keadilan dengan mengganggu saksi.

“Saya katakan kepada anda ia adalah agak sukar untuk mempercayai mengumpul begitu banyak – S$23.9 juta – dalam masa satu tahun 3 bulan, dengan hanya bertindak sebagai ‘introducer, perantara, perunding bebas atau pengurus perhubungan’,” laporan ST memetik kata-kata Timbalan Pendakwa Raya Tan Kiat Pheng semasa pemeriksaan balas terhadap Yeo.

Yeo, bagaimanapun tidak bersetuju, mengatakan Jabatan Hal Ehwal Komersial terlupa yang ia adalah “yuran rujukan yang diperoleh daripada salah satu dana kekayaan terbesar di dunia”.

Apabila Yeo berhujah, bekas pegawai bank BSI Yak Yew Chee memperoleh S$27 juta gaji dan bonus daripada BSI antara 2011 dan 2015, Tan berkata terdapat perbezaan yang Yak peroleh S$27 juta dalam 4 tahun, menurut laporan ST.

Channel News Asia (CNA) melaporkan Yeo, 33, mengakui pernah bekerja dengan Jho Low dan lain-lain tetapi menafikan pendapatan beliau adalah hasil daripada tawaran “bawah meja”.

“Pada fikiran saya, (ini) bukan wang haram,” katanya.

Pada penutupan perbicaraa 12 hari itu, Yeo berkata bekas rakan dan sekutu perniagaan, yang menjadi saksi pihak pendakwaan berbohong untuk menyelamatkan diri.

Yeo bertanya mengapa di sebalik menunjukkan rasa bersalah ketika memberi keterangan terhadapnya, bekas ketua Kevin Swampillai dan rakan kongsi perniagaan Samuel Goh masih belum didakwa, CNA dilaporkan.

Semua memberi keterangan mengenai pertemuan mereka dengan Yeo pada Mac, di mana beliau didakwa memberitahu untuk “bermain poker” dengan Jabatan Hal Ehwal Komersial supaya penyiasat tidak mendedahkan lebih banyak bukti terhadapnya.

Pendakwa memberitahu mahkamah, apabila penyiasat membekukan akaun bank Yeo pada Mac – menunjukkan siasatan semakin giat dijalankan – Yeo memberitahu rakan perniagaan Jose Pinto daripada Amicorp Group agar membuang komputer ribanya kerana khuatir ia mungkin mengandungi bukti yang mengaitkan beliau dengan Low, Tan dan Husseiny. Yeo adalah individu bertanggungjawab memperkenalkan mereka kepada Amicorp.

Laporan CNA berkata, keputusan dijangka pada 21 Disember.

Yeo menghadapi 7 pertuduhan lain, termasuk pengubahan wang haram dan penipuan, yang akan menjalani perbicaraan berasingan tahun depan.

PAUTAN:

Saya tak pernah kerja untuk Jho Low, kata bekas pengurus bank

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.