
“Badan Peguam bersama Temiar dan Rohingya dalam usaha mereka memastikan hak asasi dan kehidupan mereka dilindungi,” kata Presiden Steven Thiru.
Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau berkata badan peguam akan terus mengusahakan dan menyokong penyelesaian konflik secara aman dan adil.
Steven berkata Kerajaan Persekutuan dan Kelantan perlu menghentikan semua tindakan untuk merampas tanah adat Temiar dan penangkapan Orang Asli.
Dalam operasi penguatkuasa 29 November lepas, Jabatan Perhutanan meroboh dan memusnahkan halangan yang didirikan Orang Asli yang membantah pencerobohan secara aman.
47 Orang Asli ditahan pada hari itu.
Steven berkata Temiar perlu pertahankan tanah adat mereka daripada pencerobohan yang semakin berleluasa dan degradasi alam sekitar.
Beliau berkata Badan Peguam mahu Kerajaan Kelantan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti penguatkuasaan dan pembalakan sehingga tuntutan tanah adat diselesaikan.
Sementara itu, Badan Peguam mengalu-alukan campurtangan diplomatik Putrajaya dalam penindasan etnik Rohingya di Myanmar.
“Sukacita melihat Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk mengenepikan prinsip tidak campurtangan dalam hal domestik salah satu negara anggota Asean.”
Beliau berkata Malaysia tidak boleh menepis pencabulan hak asasi manusia dalam sempadan komuniti Asean.
Steven berkata sesaran Rohingya memberi kesan kepada keamanan dan keselamatan serantau.
Katanya kerajaan perlu memberikan status pelarian kepada Rohingya, sepertimana kepada warga Syria yang ditawarkan penempatan semula.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram