
Beliau berkata tempat letak kereta OKU disediakan untuk mereka yang berkerusi roda tetapi ia sering disalahgunakan masyarakat umum.
“Nampak seperti mereka tidak peduli yang mereka menyusahkan OKU,” katanya kepada FMT.
Murugeswaran yang juga berkerusi roda berkata ada keadaan di mana golongan kurang upaya terpaksa memandu berpusing-pusing mencari tempat letak kenderaan.
“Kebanyakan lot parkir terletak hampir dengan bank, klinik dan kemudahan lain.
“Bila OKU tidak dapat letak kereta di tempat OKU, mereka terpaksa cari tempat lain.
“Ada yang terperangkap dalam hujan kerana terpaksa letak kereta jauh,” katanya.
Murugeswaran berkata pihak berkuasa tempatan perlu sering menanggalkan pelekat haram yang ditampal di papan tanda tempat kereta.
“Kadangkala OKU tidak tahu di mana hendak letak kereta kerana papan tanda penuh dengan pelekat.
“Kami kecewa dengan pihak berkuasa dan saya menerima beberapa aduan daripada ahli persatuan,” katanya.
Setiausaha Persatuan Kecederaan Tulang Belakang Malaysia Jeyaraj Santraju, yang juga berkerusi roda berkata van vendor makanan turut parkir di tempat letak kereta OKU.
“Peniaga makanan yang menjual makanan di van juga meletak kerusi di lot parkir di sebelahnya untuk pelanggan. Ini juga baisanya berlaku pada waktu malam.
“Mereka mengambil kesempatan terhadap ruang yang disediakan untuk OKU,” katanya.
Jayaraj berkata pegawai penguat kuasa patut membuat rondaan di tempat letak kereta OKU sekurang-kurangnya sekali sejam untuk menghalang orang awam dan juga penunggang motosikal daripada menggunakan lot parkir itu.
“Mereka yang memandu untuk kawan atau ahli keluarga yang OKU juga meletak kenderaan di lot OKU.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana lot parkir itu khas untuk pemandu OKU.
“Alasannya ialah mereka membawa orang OKU. Mereka patutnya turunkan individu berkenaan dan kemudian letak kereta di lot biasa,” katanya.
Jayarai, yang baru-baru ini menulis buku “Guidance of Wheelchair Bound” berkata beliau berharap penguatkuasaan kerap akan dapat menangani masalah tempat letak kereta haram di lot OKU.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram