
Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata insiden berlaku pada jam 8.50 malam semalam, apabila polis trafik mendapati sebuah kereta Mercedes-Benz menghalang lalulintas di Jalan Tun Abdul Razak.
Anggota polis trafik terlibat meminta pemandu terbabit, seorang wanita berusia 53 tahun, supaya mengubah kedudukan keretanya tetapi dia enggan berbuat demikian walaupun selepas 2 kali amaran.
Beliau kemudian mengeluarkan notis saman kepada wanita itu atas kesalahan menghalang lalulintas, abai isyarat lalulintas dan meletak kenderaan di garisan kembar.
“Suspek didapati menulis perkataan ‘Babi’ pada ruangan tandatangan dan bercakap dengan nada yang tinggi mengatakan namanya adalah ‘Babi’,” kata Sulaiman ketika dihubungi FMT.
“Polis percaya dia berbuat demikian dengan niat untuk menghina anggota polis itu.”
Wanita itu kemudian ditangkap dengan bantuan unit rondaan.
“Dia sekarang ini berada dalam tahanan polis dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9.00 pagi esok. Sekiranya didapati bersalah, dia boleh didenda sehingga RM100 kerana menghina seorang anggota polis.”
Sulaiman menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan perkataan yang tidak wajar terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas memelihara ketenteraman awam.
Bulan lepas, satu pasangan didapati bersalah kerana mengganggu seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mengeluarkan saman letak kereta kepada mereka.
Pasangan itu dihukum penjara 2 minggu dan didenda RM3,000 setiap seorang tetapi sedang merayu hukuman itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram