HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Donald Trump sekat pelarian, warga 7 negara Islam masuk AS

-

Donald Trump memberi alasan pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

0
Shares
Total Views: 1
trump-us
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) semalam menggantung kebenaran masuk warga dari 7 negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu.

Menurut laporan Reuters hari ini, Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama 4 bulan dan warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama sekurang-kurangnya 90 hari.

Trump berkata, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

“Saya sedang merangka kaedah pemeriksaan baru untuk menyekat pengganas Islam radikal daripada (masuk ke) AS. Saya tidak mahu mereka di sini.

“Kami hanya ingin memberi kebenaran kepada mereka yang menyokong negara dan mengasihi warga kita,” katanya.

Parti Demokrat mengecam langkah itu sebagai bertentangan dengan nilai AS dan akan menjejaskan reputasi negara yang sebelum ini mengalu-alukan imigran.

“Arahan eksekutif daripada president adalah lebih kepada xenofobia (takut atau benci kepada orang asing) ekstrem berbanding pemeriksaan ekstrem,” kata senator daripada parti itu Edward Markey.

Speaker Dewan Perwakilan Parti Republikan, Paul Ryan pula menyokongnya, walaupun pernah mengkritik kenyataan Trump yang ingin melarang kemasukan orang Islam ketika kempen pilihan raya tahun lalu.

“Langkah Presiden Trump adalah betul bagi memastikan kita melakukan apa yang termampu untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang memasuki negara kita,” katanya.

Sepanjang kempennya, Trump membawa slogan “America First” dan membangkitkan isu seperti pengganas “Islamic State” dan kebanjiran pelarian dari Timur Tengah ke Eropah.

Menurut laporan itu lagi, arahan berkenaan bertujuan mengutamakan pelarian yang melarikan diri daripada penindasan agama, dan Trump pernah berkata ia untuk membantu warga Syria beragama Kristian.

Ia berkuatkuasa serta-merta dan mencetuskan kekeliruan kepada warga 7 negara yang merancang ke AS, kata laporan itu lagi.

Dalam satu laporan lain, Reuters hari ini melaporkan 5 warga Iraq dan seorang warga Yaman dihalang menaiki penerbangan EgyptAir dari Kaherah ke New York walaupun memiliki visa yang sah, sehari selepas arahan tersebut dikeluarkan.

PBB gesa AS terus beri perlindungan

Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan Pertubuhan untuk Penghijrahan Antarabangsa (IOM) dalam satu kenyataan bersama menggesa AS terus menawarkan suaka kepada mereka yang lari daripada perang dan penindasan.

“Sekarang adalah saat pelarian dan migran seluruh dunia paling memerlukan (bantuan) dan program penempatan semula AS antara terpenting di dunia,” kata 2 pertubuhan itu, seperti dipetik The Guardian hari ini.

Menurut mereka, sikap AS yang menerima pelarian sebelum ini memberikan manfaat kepada negara itu, iaitu “memperkayakan” masyarakat di sana dan pada masa sama membantu golongan paling terjejas di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.