
Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim mengakui pasukan penguatkuasa agensi itu melaksanakan operasi meroboh pondok haram yang dibina pagi tadi tetapi tidak membakar pondok sesuka hati sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak.
Beliau berkata berdasarkan laporan daripada pegawai yang menjalankan operasi berkenaan, kebakaran itu berpunca daripada bara api yang ditinggalkan oleh sekumpulan Orang Asli dalam pondok yang baharu dibina mereka di kawasan sekatan pembalakan tersebut.
“Dalam operasi di HSK Balah itu memang ada kerja meroboh pondok yang dibina secara haram. Bagaimanapun, kesan terbakar adalah berpunca daripada kesan bara api yang ditinggalkan semalaman oleh Orang Asli yang disangkakan sudah terpadam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zahari berkata ketika kerja meroboh mahu dimulakan terdapat 4 Orang Asli berada dalam pondok yang baharu dibina dan sebaik anggota penguat kuasa JPNK tiba, mereka diarahkan meninggalkan penempatan haram terbabit.
Beliau berkata selain meroboh pondok yang baharu dibina, JPNK juga bertindak merobohkan sekatan baharu yang dibina oleh kumpulan Orang Asli di kawasan berkenaan.
Katanya operasi terbabit membabitkan 3 pasukan penguat kuasa JPNK termasuk daripada Pejabat Hutan Gua Musang bermula pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang, hari ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram