
Terdapat “backpacker” warga barat meminta wang daripada rakyat Malaysia dan pelancong asing lain untuk membantu membiayai perjalanan mereka.
Menurut laporan akhbar itu, beberapa orang yang pernah terserempak dengan “backpacker” ini berkata, mereka boleh dilihat di tengah bandar dan kawasan pelancongan terutamanya di Jalan Bukit Bintang dan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
“Saya nampak mereka jual poskad dan foto, saya fikir ia baik jika mereka benar-benar kehabisan wang dan memerlukannya untuk tambang balik ke negara asal, tapi bukan membiayai perjalanan mereka,” lapor NST memetik kata seorang seniman jalanan yang dikenali sebagai Wan.
Beberapa pelancong warga barat ini juga dilihat meminta wang di sepanjang laluan pejalan kaki yang menghubungkan KLCC ke The Pavilion di Jalan Bukit Bintang, di mana jalan itu menjadi penghubung pejalan kaki ke hotel dan bangunan pejabat berhampiran.
Seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di laluan itu berkata, beliau pernah menghalau pengemis warga asing di kawasan itu beberapa kali.
Isu orang Barat mengemis mula terdedah selepas seorang warga Jerman, Benjamin Holst yang mempunyai penyakit yang jarang berlaku iaitu macrodystrophia lipomatosa yang menyebabkan bengkak kaki mengambil kesempatan dengan keadaan dirinya untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai dan pengguna jalan raya berhampiran Jalan Dewan Bahasa Pustaka.
Dia dilaporkan pergi ke negara lain di rantau ini dan melakukan perkara yang sama.
Bagaimanapun, Holst menimbulkan kemarahan orang di media sosial dan malah pernah dihalau keluar dari Thailand selepas memuat naik gambarnya tinggal di hotel mewah, minum di bar dan melanggan pelacur, bukannya menggunakan wang itu membeli tiket balik ke Jerman, seperti yang beliau dakwa mahu berbuat demikian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram