HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kelantan sedia kecualikan bukan Islam ‘rehat’ waktu Maghrib

-

Kerajaan negeri berkata ia boleh dipertimbangkan di kawasan majoriti bukan Islam.

0
Shares
Total Views: 1
Fattah-Mahmood
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan sedia mengecualikan peniaga bukan Islam daripada peraturan wajib menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Fattah, yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, berkata arahan yang dikeluarkan sebelum ini hanyalah bertujuan memberi keselesaan kepada orang Islam khususnya peniaga menjalankan ibadat solat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia berbincang dengan peniaga bukan Islam yang meniaga di kawasan majoriti bukan Islam supaya dikecualikan jika ada permintaan.

“Sebab asasnya saya keluarkan arahan ini untuk peniaga Islam menunaikan solat Maghrib. Jadi bagi kawasan yang banyak orang bukan Islam seperti perkampungan orang Cina, kita pertimbangkan.

“Sebab mereka tidak terlibat dalam urusan solat Maghrib. Kita sedia berbincang dengan jika ada laporan dan permintaan daripada peniaga bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Fattah memberitahu FMT, arahan pemberhentian operasi tidak melebihi 15 minit itu bertujuan memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.

Dasar tersebut dimulakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu tahun lalu.

Sewaktu pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar, MPKB menyediakan lori tangki air di pasar malam untuk memudahkan umat Islam mengambil wuduk dan menunaikan solat.

Fattah dilaporkan berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib sebagai pemberitahuan kepada peniaga untuk menghentikan operasi, manakala wisel ke-2 akan dibunyikan 2 kali 10 minit kemudian.

Fattah berkata penjelasan dibuat berikutan kekeliruan yang timbul daripada sesetengah pihak terhadap peraturan yang menjadi dasar kepada kerajaan negeri Kelantan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.