HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tangan rakyat beri kamu makan, PPBM beritahu Zahid

-

Zahid gagal bezakan antara pentadbiran dan kerajaan, kata Rais Hussin.

0
Shares
Total Views: 1
rais-zahid

PETALING JAYA:
PPBM bersetuju dengan pesanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam kepada pesara kerajaan supaya seseorang itu bersyukur dan tidak “menggigit” tangan yang memberi makan kepadanya.

Tetapi bagi Pengerusi Biro Dasar dan Strategi PPBM, Datuk Rais Hussin, timbalan perdana menteri itu tersilap apabila menganggap tangan yang memberi makan adalah kerajaan.

“Sebaliknya, Zahid jangan gigit tangan yang beri makan kepadanya kerana yang memberi makan kepada pentadbiran adalah rakyat,” kata Rais kepada FMT megulas ucapan Zahid kepada lebih 7,000 pesara dan bakal pesara kerajaan semalam.

Ketika merasmikan Hari Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Serdang, Zahid menyeru golongan pesara dan yang sudah lanjut usia agar sentiasa menyokong kerajaan sebagai balasan kepada bantuan yang diberikan selama ini.

“Insya Allah, kita takkan pernah menggigit tangan yang pernah memberi makan pada kita,” kata Zahid.

“Maka realiti ini harus kita dakapi untuk menentukan bahawa kita harus bersyukur pada Allah dengan cara berterima kasih kepada yang memberi kehidupan kepada kita selama ini iaitu kerajaan Malaysia.”

Rais berkata hasil daripada pemberian rakyat kepada kerajaan, ia bertanggungjawab menjamin kepentingan rakyat.

Menurutnya, Zahid terlupa yang dana kerajaan datang daripada rakyat.

“Ya, kerajaan boleh cetak wang atau tingkatkan hutang, tetapi jaminan yang diberikan terhadap pinjaman sedemikian semuanya ditanggung rakyat.

“Rakyat yang mendanai kerajaan, termasuk gaji dan imbuhan Zahid.

“Jadi untuk memberitahu pesara supaya tidak menggigit tangan yang beri makan adalah sesuatu yang tidak bijak,” kata Rais.

Rais berkata Zahid perlu faham konsep kerajaan dan pentadbiran.

Menurutnya, sementara kerajaan sentiasa kekal, pentadbiran akan bertukar ganti.

“Mungkin Umno dan Barisan Nasional sudah terlalu lama menerajui pentadbiran sehingga Zahid gagal membezakannya.

“Mana-mana pentadbiran baharu yang dipilih rakyat masih akan membayar wang pencen,” katanya.

“Kita lihat di Amerika Syarikat, pentadbiran saling berganti antara parti Republikan dan Demokrat. Pernah bayaran pencen dihentikan?”

Jangan gigit tangan yang beri makan, Zahid pesan pesara kerajaan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.