
Naib presiden PKR itu menyamakan tindakan tidak menyerahkan penyata kewangan Felda berakhir 31 Disember 2015 dan 2016 di Dewan Rakyat dengan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1MDB.
“Sama seperti 1MDB, sekarang ia seolah-olah sudah menjadi satu trend dan helah daripada menjadi beban politik Najib.
“Najib cuba melengah-lengahkan laporan kewangan Felda daripada dibentangkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke, hari ini.
Walaupun tidak terikat kepada undang-undang untuk mengumumkan laporan kewangan tahunan mereka, tetapi Felda perlu menyerahkan laporan itu kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Ini kerana, kata Rafizi, Felda tidak menggunakan dana awam, sebaliknya wang sendiri untuk beroperasi.
“Mereka lupa kami akauntan dan akan gunakan maklumat yang ada untuk membuat unjuran. Walaupun akan lari sedikit, tetapi tidak lari jauh sangat,” kata bekas setiausaha agung PKR itu.
Rafizi mengunjurkan Felda akan menanggung hutang sebanyak RM12.6 bilion sehingga akhir tahun ini, termasuk RM2.22 bilion hutang baru ekoran pembelian 37% saham syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk daripada Rajawali Group, April lalu.
Beliau turut mendakwa Felda mempunyai liabiliti semasa sebanyak RM1.7 bilion, liabiliti jangka panjang RM6.06 bilion serta hutang baru yang diambil bagi 2014 dan 2016.
Katanya, kerajaan enggan mendedahkan laporan kewangan tahunan Felda kerana menyedari mereka akan berdepan masalah besar jika berbuat demikian.
“Kebanyakan ahli Parlimen tidak akan perasan pun, walaupun Felda menghantar laporan kewangan mereka.
“Kebiasaannya, hanya 1 atau 2 ahli Parlimen yang perasan dan selalunya sayalah individu itu…kalau saya tak kejar, memang tak keluarlah laporan kewangan tahunan mereka.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram