
Keluarga Anwar berkata, ketua umum PKR itu akan dimasukkan ke HKL esok bagi menjalani pemeriksaan sebelum pembedahan boleh dijalankan.
“Beliau akan menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ untuk melegakan kesakitan. Pada 8 November, Anwar akan dimasukkan ke HKL untuk penilaian pra-pembedahan, dan akan menjalani pembedahan pada 12 November 2017.
“Pembedahan ini amatlah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang betul amat diperlukan, dan kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap para doktor HKL untuk menjalankan pembedahan ini dengan penuh profesionalisme,” kata Nurul Nuha Anwar pada sidang media di kediaman Anwar hari ini.
Nuha berkata, kecederaan di bahu kanan Anwar semakin teruk akibat kemalangan September lalu yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.
Kemalangan berlaku ketika kenderaan yang membawa Anwar dilanggar kenderaan pengiring dari belakang.
Kenderaan pengiring tersebut dikatakan gagal berhenti mengakibatkannya melanggar kenderaan yang membawa Anwar yang telah berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.
Anwar ketika itu sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah berada 4 malam di HKL untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahu beliau.
“Kami, ahli-ahli keluarga beliau, amat risau dengan tahap kesihatan dan keselamatan papa kami kerana pembedahan ini mempunyai risiko oleh sebab keadaan beliau pada masa kini.
“Pada 31 Oktober, ahli-ahli keluarga dan Anwar telah bertemu dan berunding bersama doktor-doktor di HKL berkenaan isu ini dan papa telah bersetuju untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Nuha berkata, sejak dipenjarakan, tahap kesihatan Anwar semakin merosot sehingga Anwar sukar menggerakkan tangan kanan.
“Sejak pemenjaraan politik beliau, kecederaan ini telah bertambah teruk. Pada September 2015, beliau mula mengadu tentang kecederaan ini yang mengakibatkan kesakitan sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata, doktor pakar ketika itu mencadangkan beliau menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan berkenaan, namun Anwar menolak kerana khuatir dengan keadaan penjara yang tidak bersesuaian dan kemungkinan campur tangan dalam pemulihannya.
Sehubungan itu, susulan pembedahan yang dijadualkan November ini, keluarga Anwar mengharapkan agar kerajaan memberi jaminan semua rawatan perubatan yang diperlukan pemimpin pembangkang itu akan diberi tanpa sebarang campur tangan.
Mereka juga mengharapkan Anwar diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan pemulihan di hospital memandangkan akses kepada kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh.
Keluarga mengharapkan kebenaran diberikan kepada badan hak asasi manusia untuk bertemu Anwar bagi memantau keadaan sepanjang pembedahan dan proses pemulihan selepas pembedahan.
Selain Nuha, sidang media hari ini turut dihadiri anak perempuan Anwar yang lain iaitu Nurul Ilham Anwar dan Nurul Iman Anwar.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram