![warisan](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fs3media.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2017%2F11%2Fwarisan.jpg&w=3840&q=75)
Menjawab artikel portal SabahKini2, Gabriel memberitahu FMT pengambilalihan parti itu tahun lalu tidak melibatkan pertukaran wang.
“Semua itu bohong. Saya masih hidup dan berjuang bersama Warisan. Siapa buat cerita? Saya akan saman mereka yang reka cerita mengarut itu,” katanya.
Gabriel berkata parti itu diserahkan kepada Shafie, yang kemudannya menjadi presiden parti pembangkang tempatan itu, tanpa syarat.
Beliau tidak tahu bagaimana portal itu mendapat maklumat sebegitu atau sama ada ahli jawatankuasa parti lama bercakap dengan pemberita.
Setakat yang beliau tahu, tiada wartawan daripada portal itu menghubunginya untuk mengesahkan malumat itu.
Menurut artikel itu, pendaftaran Warisan mungkin dibatalkan kerana melanggar beberapa perlembagaan parti termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan, sayap Pemuda yang dinamakan sebagai “Wira Warisan”, menangguhkan mesyuarat agung dan melantik presiden dan ahli jawatankuasa tanpa melalui mesyuarat agung.
Parti Pembangunan Warisan Sabah diluluskan pada 2013 dan diterajui Gabriel, bekas calon Adun Pantai Manis, bersama 15 orang ahli jawatankuasa.
Artikel itu mendakwa Gabriel dan beberapa ahli jawatankuasa menjual parti mereka kepada Shafie untuk RM500,000 dengan deposit RM50,000 pada Oktober tahun lalu.
Artikel itu mendakwa salah seorang ahli jawatankuasa mengancam untuk membuat aduan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sekiranya bayaran tidak dilangsaikan sepenuhnya.
Individu yang tidak dinamakan itu juga mendakwa bekas ahli-ahli jawatankuasa Parti Pembangunan Warisan Sabah itu sedang berunding dengan Shafie untuk mendapatkan wang itu.
Artikel itu turut memetik Gabriel sebagai mengadu baki RM450,000 masih belum dibayar.
Gabrial kini timbalan penyelaras Warisan di DUN Papar.
“Dakwaan yang melampau. Perjuangan saya dalam Warisan sehingga hari ini bukan kerana wang. Tiada 1 sen diberi kepada saya atau AJK.
“Perjuangan kami bukan kerana kami dibayar. Kami berjuang untuk masa depan dan menuduh kami minta wang menghina maruah kami,” katanya kepada FMT.
Gabriel berkata beliau dan Warisan menunggu arahan daripada peguam dan Setiausaha Agung Loretto Padua Jr menasihat mereka berhubung perkara itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram