
Zunar, atau nama sebenar Zulkiflee SM Anwarul Haque, 55, berkata beliau akan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
“Saya dihubungi pada jam 2.00 petang tadi setelah saya tiba ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Siasatan akan bermula pada jam 11.00 pagi, Rabu ini, di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT.
Zunar tidak mahu mengulas ketika ditanya mengenai lukisannya itu supaya tidak mengganggu siasatan polis, cuma berkata lukisan ayam itu dilukis Ogos lalu.
Gambar tersebut memaparkan beberapa tabung ayam, dengan label seperti Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), dipecahkan, dan seorang individu membawa kantung tertera label “GST”, kenaikan harga dan potongan biaya.
“Apa yang saya tahu, ada yang membuat laporan polis berhubung lukisan kartun ayam ini,” katanya.
Zunar pernah disiasat bawah Akta Mesin Cetak dan Akta Penerbitan dan kini menghadapi 9 pertuduhan bawah Akta Hasutan. Beliau juga dilaporkan dihalang keluar negara sejak Jun 2016.
Kementerian Dalam Negeri juga mewartakan perintah larangan terhadap bukunya, “Sapuman: Man of Steal” kerana mungkin memudaratkan kepentingan negara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram