HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Terpegun’ pindah milik tanah kerajaan begitu mudah, kata pengerusi Felda

-

Shahrir menyedari tentang pindah milik tanah pada akhir Januari apabila Jabatan Pengurusan Felda memaklumkan ada 3 perjanjian jual beli melibatkan tanah milik Felda.

0
Shares
Total Views: 1
Shahrir-Samad-pindah-milik-tanah-kerajaan-begitu-mudah
KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” apabila menyedari tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, bernilai RM270 juta boleh dipindahkan dengan begitu mudah.

Pengerusi Felda berkata demikian pada sidang media berkenaan kes pindah milik tanah itu di Menara Felda hari ini.

“Saya agak rasa terpegun, begitu mudah pindah hak milik tanah institusi kerajaan seperti Felda,” katanya ketika ditanya tentang reaksi beliau sebaik menyedari tanah Felda itu telah ditukar hak milik.

Shahrir memberitahu pemberita beliau tahu ada kelemahan yang perlu diperbaiki, dan disebabkan itu antara langkah yang diambilnya ialah meminta ahli lembaga pengarah anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), meletakkan jawatan.

“Perkara tentang pindah milik tanah Felda ini saya sedar pada akhir Januari apabila Jabatan Pengurusan Felda memaklumkan pada saya ada 3 perjanjian jual beli melibatkan tanah milik Felda,” kata Shahrir.

Berita Harian hari ini mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai lebih RM200 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

“LHDN minta supaya kalau sudah dijual beli tanpa pengetahuan kita, Felda perlu letak kaveat persendirian,” kata Shahrir.

“Kita telah berusaha letakkan kaveat persendirian dari bulan Mac 2017, (dan) sehingga 14 April lalu baru rayuan kita di Pejabat Tanah dibenarkan dan boleh kaveat ke atas tanah-tanah kita.”

Shahrir mendedahkan syarikat swasta terlibat diberi surat kuasa wakil penuh pada 2014 setelah diluluskan oleh lembaga Felda.

“Namun, syarikat itu telah menukar hak milik tanah tersebut kepada syarikatnya sendiri dan kita tidak menerima satu sen pun daripada penjualan itu,” katanya.

Shahrir menambah Felda akan menukar status kaveat persendirian yang didaftarkan 14 April lalu kepada kaveat pendaftar untuk mengukuhkan penguasaan pemilikan Felda ke atas tanah itu.

“Ini masih tanah kita. Tanah institusi kerajaan ada sekatan tertentu, (dan) mempunyai kuasa mentadbir.”

Kaveat persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga harta itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

“Kita akan usaha tanah itu dikembalikan,” katanya.

Felda akui transaksi tanah berlaku, tapi tidak terima 1 sen pun

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.