HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Baik buruk cadangan 2 guru setiap kelas

-

Guru dan pakar pendidikan menyambut baik idea Kementerian Pendidikan itu tetapi mencadangkan beberapa penambahbaikan.

0
Shares
Total Views: 1
Noor-Azimah-Rahim-cikgu2
PETALING JAYA: Pakar pendidikan, guru, pesara guru dan kumpulan berkepentingan menyambut baik cadangan kerajaan melaksanakan sistem menempatkan 2 guru dalam sesebuah kelas, tetapi mencadangkan beberapa penambahbaikan.

Guru bersara, Siti Alawiah berkata adalah “memenatkan dan memerlukan banyak kesabaran” untuk mengendalikan murid yang begitu ramai.

Bercakap kepada FMT, beliau yang mengalu-alukan cadangan Kementerian Pendidikan berkata langkah yang lebih baik adalah untuk mempunyai program untuk meningkatkan kemahiran pengurusan oleh guru.

“Pengurusan kelas adalah kunci utama. Guru perlu tahu cara menguruskan kelas, tidak kira berapa ramai pelajar yang mereka ajar,” kata Alawiah yang pernah menjadi guru bahasa Arab dan pendidikan Islam, dan mengajar di sekolah dengan lebih 40 murid di dalam kelas.

Seorang guru sekolah menengah yang enggan dinamakan berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut jika kedua-dua guru terbabit mempunyai tahap kemahiran mengajar yang sama.

“Seorang akan berperanan sebagai pembantu guru.

“Untuk mempunyai 2 guru yang mengajar secara aktif di dalam kelas yang sama, ia tidak boleh diterima. Pelajar akan memilih guru kegemaran mereka. Ini akan menyebabkan ketidakpuasan antara guru tersebut,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim pula bersetuju kelas yang besar harus mempunyai guru utama dan pembantu guru, tetapi berkata mereka tidak boleh mempunyai kelayakan sama.

“Kita tidak boleh mempunyai 2 guru yang sama kaliber dalam 1 kelas,” katanya.

Sebaliknya, Azimah mencadangkan kementerian melihat kemungkinan mengurangkan saiz kelas.

“Sekiranya mereka boleh menyediakan seorang lagi guru, maka mereka boleh memecahkan kelas menjadi 2,” katanya.

Beliau turut mencadangkan sekolah tambahan dibina kawasan padat penduduk.

“Penyelesaian jangka panjang adalah membina sekolah lain berdekatan dan memastikan jumlah murid sentiasa kecil, seperti 600 orang. Semakin besar sekolah, semakin sukar untuk dikelola,” katanya.

Seorang pakar pendidikan juga menyambut baik cadangan sistem 2 guru setiap kelas.

“Ini adalah langkah yang baik dan perlu disokong kerana agak sukar bagi seorang guru untuk mengendalikan kelas besar, seperti yang mempunyai 40 murid,” kata Datuk Dr Zakaria Kasa, anggota Majlis Profesor Kebangsaan.

“Pembelajaran boleh berlaku dengan lebih berkesan”, katanya.

“Tetapi ia sangat bergantung kepada sikap dan komitmen guru dan pelajar itu sendiri.”

Beliau berkata banyak masalah disiplin seperti buli, dikaitkan dengan kesukaran menguruskan bilik darjah yang besar.

Pelaksanaan 2 guru dalam 1 kelas perlu perancangan rapi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.