HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

200 km dari Jalan Semarak, keresahan di sebuah penempatan Felda

-

Semakin kedengaran rasa tidak puas hati di kalangan warga Felda di sebuah penempatan di Pahang berhubung isu pindah milik tanah di Kuala Lumpur.

0
Shares
Total Views: 1
maran-house4

MARAN:
Tempias dari kes terkini yang melanda Felda melibatkan tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur turut dirasai sejauh kira-kira 200 km oleh penduduk di sebuah penempatan Felda di Pahang.

Tinjauan FMT mendapati rata-rata penduduk di Felda Bukit Tajau di Maran berasa marah dengan isu berhubung pemindahan hak milik tanah yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran RM1 bilion, yang mencetuskan siasatan pasukan khas ditubuhkan polis.

Mat Darus Mahathir, 65, berkata sekiranya masalah Felda tidak diselesaikan, kebanyakan penduduk di sini berkemungkinan tidak lagi akan memangkah Barisan Nasional (BN) di atas kertas undi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mat Derus berkata ia berdasarkan pemerhatian dan “sembang harian” dengan penduduk.

“Kalau tak selesai, orang Felda tak sokong BN. Rata-rata penduduk sini yang kita jumpa di ‘kedai kopi’ tak nak sokong BN,” katanya kepada FMT.

Satu nama yang kerap menimbulkan rasa tidak puas hati, menurut Mat Derus, ialah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Isa semalam disoal siasat selama lebih 5 jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.

Bulan lalu, Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah di Jalan Semarak kerana bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

 

maran-house

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang dipengerusikan Isa melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

’50/50 tetapi bukan untuk Pakatan’

Seorang lagi penduduk di Bukit Tajau yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarudin, 38, berkata orang Felda sudah lama tidak berpuas hati dengan pengurusan tertinggi agensi itu.

Kamarudin setuju dengan Mat Derus mengenai sokongan terhadap BN yang kian terhakis di sini disebabkan pelbagai kemelut yang melanda Felda.

“Jika di Felda Bukit Tajau ini 50-50,” kata anak Felda generasi kedua itu mengenai sokongan terhadap BN dan pembangkang.

Menurutnya, BN, yang kerap bergantung kepada sokongan pengundi Felda selama berdekad, sudah lama tergugat sejak kemasukan Isa ke dalam Felda.

maran-house2

Bagaimanapun, sentimen penduduk berbeza sedikit terhadap Tan Sri Shahrir Samad, veteran Umno yang dilantik pengerusi Felda menggantikan Isa sejak Januari 2017.

“Pengerusi Felda baru ini kita lihat OK sikit dari Isa. Jika Felda dapat dibaiki kita akan beri peluang,” kata Kamarudin.

“Jika selesai, dan masa depan Felda terjamin, kita sokong BN,” tambah Mat Derus.

Pada PRU lalu, BN menang tipis selepas ditentang PAS di sini.

Tetapi peluang untuk Pakatan Harapan (PH), gabungan 4 parti yang turut dianggotai PPBM, masih samar.

Cakap-cakap kedai kopi

Nizam Abu Bakar, 34, merupakan seorang lagi generasi kedua Felda di sini.

Beliau turut merasai kritikan penduduk yang semakin lantang terhadap agensi itu.

Tetapi semua itu hanya cakap-cakap “kedai kopi”, kata Nizam.

Nizam merupakan penyokong Datuk Seri Najib Razak, dan mendakwa zaman Najib lebih baik daripada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

maran-house1

“Tetapi kos sara hidup tinggi, pendapatan kurang… isu-isu seperti itu jadi masalah pada kita,” katanya.

Beliau turut mengadu masalah dihadapi untuk memohon skim agihan tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Macam saya, tak dapat BR1M sebab hanyar daftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Tetapi pendapatan saya hanyar RM1,000 lebih.

“Saya mempunyai 4 orang anak dan berniaga sendiri membuka bengkel kenderaan sendiri. Kita daftar syarikat tetapi tidak dapat bantuan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Junaidi, menaruh harapan dengan Shahrir untuk menyelesaikan isu terbaru melanda Felda.

Namun, kritikan dan sentimen tidak puas hati itu ditemani dengan perasaan pasrah.

“Walaupun marah dengan pengurusan lama di bawah Isa, tetapi kami orang Felda tidak dapat berbuat apa-apa,” kata Junaidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.