HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Saya diktator? Dr M serang balik dengan sindiran tajam

-

Bekas perdana menteri menjawab pengkritik dengan memberikan kisah perjalanan kerjaya politiknya.

0
Shares
Total Views: 1
mahathir-dictator-3

PETALING JAYA:
Dari hari-hari pertama dalam Kabinet sehingga hari-hari terakhir sebagai perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menujukan sindiran demi sindiran bagi menjawab pengkritik yang menggelarnya seorang diktator.

“Dipendekkan cerita, kerana saya seorang diktator sejati, saya ambil keputusan untuk letak jawatan. Semua diktator letak jawatan.

“Tetapi saya bertuah. Saya sempat letak jawatan sebelum saya mati. Ini mengesahkan saya seorang diktator sejati. Saya juga arahkan beberapa orang menteri untuk menerpa dan menangis apabila saya mengumumkan peletakan jawatan.

“Jadi teruskanlah menggelar saya seorang diktator autokratik, seorang Mahazalim dan Mahafiraun, seorang yang tidak demokratik, dan kaya raya kerana rasuah. Itulah kebenaran yang sebenar-benarnya benar,” kata ahli politik berusia 93 tahun itu dalam catatan sepanjang 27 perenggan di blognya hari ini.

Beliau merujuk kepada pengumuman yang dibuat di Perhimpunan Agung Umno 2002, di mana beliau mengejutkan para perwakilan dengan mengumumkan peletakan jawatan dari parti dan kerajaan. Drama seterusnya menyaksikan menteri perdagangan ketika itu Tan Sri Rafidah Aziz, ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan setiausaha agung Tun Khalil Yaakob naik ke pentas memujuk Dr Mahathir supaya bertahan.

Dr Mahathir meletakkan jawatan setahun kemudian, menyerahkan kerajaan di tangan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Catatan blog Dr Mahathir hari ini lebih seminggu selepas dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan, gabungan 4 parti pembangkang termasuk parti serpihan Umno, PPBM, yang dipengerusikan beliau.

Pengumuman itu tidak diterima baik oleh beberapa pihak dalam pembangkang, yang berkata pemerintahan “diktator” 22 tahun Dr Mahathir alasan untuk tidak kembalikan beliau ke jawatan itu.

Pemimpin Barisan Nasional turut menyerang pemimpin veteran itu, di mana ramai melabel beliau seorang diktator.

Tangkapan ISA dan pemecatan Salleh Abas

Hari ini, Dr Mahathir menyentuh peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan kerjayanya, termasuk tangkapan besar-besaran para aktivis dan penentang dalam Ops Lalang 1987, dan pemecatan ketua hakim negara ketika itu, Tun Salleh Abas.

Kedua-dua episod itu antara hujah yang biasa kedengaran terhadap beliau selama ini, yang mana beliau dituduh melemahkan badan kehakiman dan polis.

Namun beliau melawan pengkritiknya kali ini dengan sindiran tajam, gaya beliau menjawab pengkritik di Malaysia dan luar negara.

Mengenai dakwaan beliau memainkan peranan menyingkirkan Salleh sebagai ketua hakim negara, Dr Mahathir berkata peguam negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman sudah membersihkan namanya.

“Tetapi tidak boleh dipercayai langsung,” katanya.

“Semua orang nampak saya cekak tengkuk Salleh Abas dan usir dia keluar dari mahkamah. Saya tak tahu mengapa Abu Talib nak nafikan kepercayaan popular itu. Mungkin saya ada bagi dia dedak. Saya tak ingat.”

Mengenai Ops Lalang, Dr Mahathir berkata ketua polis negara ketika itu, Tun Hanif Omar berkata polis yang mengarahkan tangkapan besar-besaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Itu juga “tidak boleh dipercayai”, kata Dr Mahathir.

“Saya langkaui dia dan arahkan seberapa ramai orang ditahan dan didera. Kalau dia nafi mesti sebab dia makan dedak. Tapi dia tak nampak macam orang yang suka dedak,” katanya.

Isteri mewah

Dr Mahathir berkata isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali menunjuk-nunjuk kemewahan sebagai isteri perdana menteri.

“Sebagai isteri perdana menteri, Hasmah juga dikenali sebagai FLOMH (Wanita Utama di rumah saya). Dia suka berlian merah jambu dan beg tangan Hermes.”

Beliau kemudian menjawab tuduhan lain, iaitu beliau mengumpulkan wang yang banyak semasa berkhidmat.

“Wang itu disimpan dalam akaun rahsia di banyak bank. Akaun itu sangat rahsia sampaikan saya sendiri tak tahu bank mana. Jangan bimbang. Polis akan temuinya nanti. Bolehlah tubuh lagi satu RCI.

“Setakat ini mereka belum dapat kesan. Jangan dukacita, Najib temui Bank Negara mengalami kerugian RM30 bilion 30 tahun lalu,” katanya, merujuk kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kerugian yang dialami bank pusat itu kerana urus niaga tukaran mata wang asing. RCI menyimpulkan Dr Mahathir dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab ke atas kerugian itu.

Dr Mahathir kemudian memberikan contoh bagaimana kelakuan seorang diktator dan pembawaan dirinya sepanjang kerjaya politiknya.

Antaranya, beliau tidak diiringi kawalan keselamatan yang ketat di tempat awam dan tidak ada bangunan dinamakan sempena beliau, tidak sepertimana pemimpin-pemimpin lain sebelumnya.

Beliau melarang sekolah dinamakan sempena beliau kerana tidak mahu mencipta kultus personaliti sekitar dirinya.

“Jadi bila saya jadi perdana menteri saya tidak benarkan nama saya diletakkan pada mana-mana bangunan, jalan raya atau tandas awam. Sekarang kerajaan Najib hanya memenuhi hasrat saya. Rujukan terhadap saya dalam buku-buku teks dipadam.

“Terima kasih Najib kerana menjadi seorang demokrat,” kata Dr Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.