
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor memberitahu FMT, ia bukan perkara baru kerana ia berlaku sebelum dan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu, Disember lalu.
“JPPM juga ada beritahu kami banyak terima aduan. Kita serah kepada JPPM buat keputusan.
“Mereka ini mungkin dibayar. Tetapi kita tak sahkan lagi sebab belum buat siasatan lagi terhadap mereka yang buat aduan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa pihak mengaku diri mereka ahli PPBM dan membuat aduan kepada JPPM yang parti itu tidak mematuhi perlembagaannya walaupun selepas AGM diadakan.
Pada 30 Disember lalu, PPBM mengadakan AGM pertama di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, selepas lebih setahun ia didaftarkan pada September 2016.
Parti dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendakwa mereka terpaksa mengadakan AGM di sebalik ancaman pembatalan pendaftaran oleh JPPM, susulan masalah membabitkan penstrukturan cawangan serta bahagiannya yang tidak diiktiraf JPPM.
Mengulas lanjut, Kamaruddin mengesyaki individu terbabit yang membuat aduan kepada JPPM mempunyai agenda tersembunyi.
“Kalau betul-betul ahli, sepatutnya buat aduan kepada kita (parti) dulu. Kita sudah jangka akan ada beberapa kumpulan daripada mereka ini akan buat aduan lagi, sebab itu saya tidak terkejut. Kita pun tidak tahu siapa mereka.”
Sementara itu, katanya, PPBM masih menunggu maklum balas JPPM selepas menghantar laporan penuh berhubung AGM itu kepada jabatan berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram