HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kelantan tarik balik gelaran ‘Datuk’ Husam, Wan Abd Rahim

-

Kedua-dua pemimpin politik dari Amanah itu menerima surat penarikan daripada setiausaha kerajaan negeri Kelantan petang semalam.

0
Shares
Total Views: 1
husam-musa_pakatan_datuk600

KOTA BHARU:
Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran negeri Kelantan membawa gelaran “Datuk” yang dikurniakan kepada Naib Presiden Amanah Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Wan-Abdul-Rahim-Wan-Abdullah
Wan Abd Rahim Wan Abdullah

Kedua-dua pemimpin politik itu menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat petang semalam yang memaklumkan Sultan Muhammad V menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).

Memaklumkan perkara itu pada sidang media hari ini, Wan Abd Rahim berkata: “Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Pengelola Istana D’Raja Kelantan Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pada 10 pagi hari ini, di Istana Balai Besar di sini.”

Husam, yang juga Adun Salor, tidak hadir pada sidang media itu.

Membacakan kenyataan bersama beliau dan Husam, Wan Abd Rahim berkata alasan darjah kebesaran tersebut ditarik balik tidak dinyatakan dan mereka akur serta menjunjung perintah berkenaan yang berkuatkuasa semalam.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan  calon kerusi Parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya  umum ke-14 (PRU14) seperti yang tular di media sosial, Wan Abd Rahim menyifatkan PAS Kelantan ketandusan pemimpin tempatan sekiranya mengambil calon ‘import’ untuk bertanding di negeri ini.

“PAS kata nak ambil alih pentadbiran di Pahang tapi pemain utama cari tempat yang selamat. Bagi Amanah dan Pakatan Harapan Kelantan, kita tidak gentar untuk berhadapan dengannya,” kata beliau.

Baru-baru ini, Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata PAS belum memutuskan sama ada Tuan Ibrahim, anak kelahiran Jerantut, akan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Pada PRU13, Tuan Ibrahim yang bertanding kerusi DUN Jengka, Pahang tewas kepada Wan Salman Ismail daripada Barisan Nasional-Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.