
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek ke-4 berusia 49 tahun itu ditahan di rumahnya di Batu Caves, Selangor, pada 6.45 petang tadi oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang.
“Suspek dipercayai turut terbabit dalam memaparkan penjualan pingat dan darjah kebesaran Pahang secara tidak sah di laman Facebook.
“Iklan berkenaan dipaparkan di akaun yang menggunakan nama Nazzaitulhaida Mohd Ali mengatakan siapa yang berminat mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ dari Pahang boleh menghubungi nombor diberikan dan berjumpa mereka di Kuantan semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan penahanan itu, katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Huawei tab dan sekeping kad sim bagi membantu siasatan.
Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 3(1) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Sebelum ini, polis menahan 3 suspek, termasuk seorang wanita bergelar “Datin”, 60, dalam serbuan berasingan di ibu negara awal bulan ini dan Melaka Khamis lepas yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan pingat dan darjah kebesaran Pahang yang tidak wujud.
Mereka menggunakan modus operandi sama, iaitu mengiklankan jualan gelaran “Datuk” dan “Datuk Seri” dengan anggaran RM180,000 hingga RM400,000 di laman sosial.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram