Oleh Azizi Ahmad
Mengapa kita perlu bekerja, mengapa kita perlu bersusah payah bangun setiap pagi dari tidur yang nyenyak daripada menikmati kehidupan yang penuh nikmat yang penuh dengan kegembiraan? Persoalan yang tidak bijak bukan? Tentunya jawapan yang pasti dijawab adalah kita perlu bekerja untuk hidup. Namun, adakah itu sebenarnya sebab kita harus bekerja?
Jika kita bertanya kepada mereka yang menyukai kerjanya dan mengapa mereka melakukan kerja-kerja tersebut, isu wang ringgit bukanlah alasan yang menjadi ukuran. Senarai jawapan tentang isu bukan kewangan yang diberikan adalah panjang dan menarik.
Kebanyakan mereka suka dan berpuas hati dengan penglibatan kerja dan tugasan yang dilakukan. Mereka terlalu asyik menghayati apa yang dilakukan. Mungkin bukan sepanjang masa, tetapi lazimnya cukup penting buat mereka. Sesetengah orang berpuas hati dengan cabaran dari kerja yang dilakukan. Ia membuat mereka lebih berusaha dan keluar dari zon selesa. Mereka yang berfikiran positif ini menganggap kerja yang dilakukan menyeronokkan, seolah-olah satu permainan teka-teki silang kata atau Sudoku yang menyeronokkan.
Apakah penyebab lain yang menyebabkan seseorang harus bekerja? Mereka berpuas hati melakukan kerja kerana merasakan ia satu tanggungjawab. Kerja harian yang dilakukan seolah-olah menawarkan pengukuran autonomi dan budi bicara. Autonomi dan budi bicara itu digunakan untuk mencapai tahap penguasaan atau kepakaran. Mereka belajar perkara-perkara baharu, membangunkan kaedah sebagai seorang pekerja dan sebagai seorang manusia.
Pekerjaan mendekatkan kita dengan rangkaian sosial
Mereka yang berpuas hati dan suka pada kerja yang dilakukan akan berasa lebih bertanggungjawab. Orang-orang ini bekerja kerana ia adalah peluang untuk penglibatan sosial. Mereka melibatkan diri dalam pelbagai tugas sama ada kerja berpasukan atau situasi bersendirian namun masih terdapat banyak peluang untuk interaksi sosial dalam waktu yang sama.
Akhir sekali, mereka berpuas hati dengan kerja tersebut kerana mendapati apa yang mereka lakukan adalah bermakna. Secara tidak langsung, apa yang mereka lakukan sedikit sebanyak menyumbang dan memberi makna kepada alam pekerjaan. Ia juga boleh membuat dan menjadikan kehidupan orang lain menjadi lebih baik dalam cara yang signifikan.
Sudah tentu, bukan semua jenis pekerjaan mempunyai semua ciri-ciri itu dan bukan semua orang yang mengikut aspek kerja itu sepanjang masa. Tetapi ciri-ciri kerja seperti inilah membuat kita bekerja, membawa pulang tugasan untuk dihabiskan di rumah, mendorong kita untuk bercakap tentang kerja kita dengan orang lain dan membuat kita enggan untuk bersara. Kita tentunya tidak akan bekerja jika kita tidak mendapat bayaran atau ganjaran, tetapi itu bukan sebab utama.
Secara umumnya kita pasti bersetuju dan berfikir bahawa tanpa ganjaran, mengapa kita harus terus bekerja. Malah, apabila timbul persepsi bahawa ‘dia bekerja untuk wang’, kita bukan hanya membuat kenyataan tetapi kita telah membuat penilaian dan penghakiman.
Kepelbagaian sumber kepuasan bekerja menimbulkan persoalan-persoalan yang besar. Mengapa dalam majoriti penduduk di dunia, alam pekerjaan tidak mempunyai atau terdapat sedikit sifat-sifat ini? Kenapa bagi kebanyakan kita, kerja itu membosankan, tidak bermakna, dan mematikan jiwa dan perasaan kita?
Tunggu hujung bulan
Negara kita kini menuju ke arah negara kapitalis, seiring dengan perkembangan ini ia mencipta satu model pekerjaan di mana kepuasan bekerja yang berdasarkan kepada ‘kepuasan diri’ berbanding dengan ‘ganjaran’ telah dikurangkan atau dihapuskan? Pekerja-pekerja yang bekerja sama ada di kilang-kilang , restoran makanan segera , gedung perniagaan , firma undang , bilik darjah , klinik, dan pejabat – melakukannya hanya untuk mendapatkan gaji.
Ramai sudah cuba mencari makna, cabaran, dan ruang untuk autonomi, namun situasi dan keadaan kerja telah menggagalkan usaha pencarian makna pekerjaan yang sebenar. Struktur pekerjaan di tempat kerja telah dibentuk dan dicorakkan hanya untuk melakukan pekerjaan dan di akhir bulan bersedia untuk menerima upah kerja atau gaji.
Menurut satu laporan dan kajian besar-besaran yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Gallup, mereka yang ‘bekerja hanya untuk gaji’ adalah dua kali ganda lebih ramai mereka yang aktif terlibat dan suka akan pekerjaan mereka.
Secara keseluruhan, Gallup mendapati hanya 13% dari jumlah pekerja yang terlibat di dalam kajian berasa ‘terlibat’ dengan apa yang mereka usahakan. Mereka yang di dalam kumpulan 13% ini menyatakan amat bersemangat dan sayangkan kerja serta sanggup mencurahkan khidmat bakti untuk memajukan organisasi tempat kerja.
Jesteru itu, hampir 63% didapati ‘tidak terlibat penuh’ dengan pekerjaan yang dilakukan. Ramai didapati tidak tahu arah tuju kerja, menyumbang pada tahap yang sedikit dan selebihnya tidak peduli langsung atau mungkin membenci tugasan atau kerja yang sedang dilakukan.
Dalam erti kata lain, bekerja adalah satu sumber kekecewaan daripada kepuasan untuk hampir 90% pekerja di dunia. Fikirkan tentang isu sosial, isu ekonomi , atau isu emosi yang mungkin ditunjukkan daripada perwakilan statistik ini. 90% daripada golongan orang dewasa yang menghabiskan separuh daripada kehidupan mereka, bangun untuk melakukan apa yang tidak suka di tempat yang tidak suka bekerja.
Peluang untuk melakukan kerja-kerja yang ‘betul’ digalakkan untuk dibangunkan dan dipelajari. Dalam pekerjaan kita harus rasa dihargai oleh rakan sekerja dan pihak atasan, pendapat kita diambil kira, apa yang kita lakukan adalah penting dan mempunyai kawan-kawan yang baik di tempat kerja adalah semua aspek kerja yang dikaji. Bagi majoriti rakyat, bekerja merupakan sesuatu yang tidak mengembirakan. Persoalannya kenapa dan apakah yang harus dilakukan?
Azizi Ahmad adalah seorang pendidik.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram