Dominasi Barisan Nasional (BN) semakin kukuh sejak 1994 apabila Umno berjaya melebarkan sayapnya ke Sabah. Sejarah politik Sabah telah merakamkan peristiwa ketidakstabilan politik apabila berlaku perubahan kerajaan negeri sebanyak 3 kali.
Bermula dengan pentadbiran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) pada 1967, kemudian digantikan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) pada 1976 dan seterusnya ditumbangkan parti baru ditubuhkan ketika itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 yang akhirnya kecundang di tangan Umno pada 1994.
Jika ditelusuri perjalanan politik Sabah, kita dapat perhatikan Usno, Berjaya dan PBS hanya mampu bertahan selama 9 tahun sebagai kerajaan negeri.
Ramai menyangka Umno bakal tumbang pada 9 tahun berikutnya, namun teori 9 tahun ini berakhir dengan kembalinya PBS ke pangkuan BN dan sejak itu kedudukan BN semakin kukuh sehingga berjaya menguasai 59 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2004.
Tsunami politik yang berlaku pada 2008 tidak sedikit pun menggoyahkan kekuatan BN untuk sekali lagi menguasai 59 daripada 60 kerusi DUN Sabah.
Meskipun, gelombang ke-2 Pakatan Rakyat pada 2013 melanda Malaysia, BN masih berjaya mengekalkan majoriti 2/3 dalam DUN Sabah, walaupun jumlah kerusinya berkurangan daripada 59 kepada 48.
Kini, kita menyaksikan gelombang parti tempatan dengan sentimen “Sabah untuk Sabahan” semakin mendapat tempat dalam hati penduduk Sabah. Namun, ia belum mampu menggoyahkan kerajaan BN Sabah atas beberapa faktor.
Pertama, parti-parti pembangkang belum bersatu untuk menggulingkan kerajaan BN Sabah. Pertandingan pelbagai penjuru di Sabah sudah menjadi satu kebiasaan, namun perpecahan dalam kalangan parti pembangkang yang kini jelas kelihatan bakal menguburkan impian untuk menjatuhkan BN.
Pakatan pembangkang di Sabah kini terbahagi kepada 4, iaitu PH, Gabungan Sabah, Warisan-PCS (Parti Cinta Sabah) dan Gagasan Sejahtera. Ia belum lagi mengambil kira calon-calon bebas yang sedikit sebanyak mempengaruhi bilangan undi dalam pilihan raya.
Sebagai contoh, parti-parti pembangkang berpotensi untuk menguasai 8 kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas, sekiranya mereka bersatu dan kejayaan itu sudah cukup untuk menggugat majoriti 2/3 BN dengan kedudukan 40 BN – 20 pembangkang.
Kerusi N45 Elopura misalnya, dimenangi calon BN (8,105 undi) dengan majoriti hanya 251 undi, sedangkan jika calon DAP (7,854 undi) dan Parti Maju Sabah (SAPP mendapat 469 undi) bergabung, sudah tentu kerusi tersebut akan jatuh kepada pembangkang.
Demikian juga di kerusi N32 Tambunan yang dikuasai Presiden PBS (5,586 undi) dengan majoriti 2,079 undi, sedangkan gabungan PKR (1,744 undi), Parti Reformasi Sabah (STAR mendapat 3,507 undi) dan 2 calon bebas (645 undi) sudah mampu menewaskan beliau.
Hakikatnya, perpecahan hanya menguntungkan BN.
Kedua, kejayaan Umno menubuhkan kerajaan di Sabah pada 1994 tidak akan menjadi kenyataan sekiranya 3 adun PBS tidak melompat parti.
Demikian juga kejatuhan kerajaan Berjaya yang disebabkan beberapa ahlinya keluar parti dan menyertai PBS.
Sekiranya adun Umno keluar parti dan menyertai pembangkang, ia mungkin memberi kesan, tetapi realiti yang kita perhatikan kini sebaliknya. Adun pembangkang PKR dan DAP melompat ke Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan kerusi BN.
Ketiga, sentimen politik pembangunan yang dimainkan BN sejak 1994 menjadi senjata paling ampuh dalam meraih undi penduduk Sabah.
Tekanan politik dan ekonomi yang dikenakan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan BN terhadap kerajaan PBS pada awal 1990-an menjadi penyebab kemunduran ekonomi Sabah dan kedatangan Umno ke Sabah dilihat sebagai penyelamat kepada kemelut yang melanda.
Umno menawarkan pembangunan dan hal tersebut menjadi dambaan penduduk Sabah yang ingin menikmati pembangunan seperti negeri lain. Akhirnya warga Sabah memilih Umno dan meninggalkan PBS.
Paluan gendang pilihan raya umum ke-14 semakin kedengaran dan BN sedang menajamkan senjatanya bagi mengekalkan kuasa di Sabah dengan bermacam projek pembangunan yang menyerlahkan lagi bukti kejayaan BN mentadbir Sabah, sedangkan parti-parti pembangkang masih bercakaran sesama sendiri.
Adakah matlamat menumbangkan BN di Sabah hanya sekadar impian?
Firdani Adam ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram