Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok berkata tindakan tersebut diambil setelah mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.
“Jawatankuasa Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April 2016 mendapati Datuk Husam Musa melakukan tindakan dan perbuatan yang melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan PAS.
“Berdasarkan peruntukan Fasal 82(6)(d) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) Jawatankuasa Tatatertib PAS membuat keputusan mengambil tindakan tatatertib ke atas Datuk Husam Musa iaitu memecatnya sebagai ahli PAS berkuat kuasa pada hari keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
FMT kini dalam usaha mendapatkan respons Husam berhubung pemecatan ini.
Bekas naib presiden PAS itu lantang mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan UMNO serta kepimpinan parti berhubung isu hudud.
Malah, Husam sebelum ini juga dilihat sepentas dalam program parti serpihan PAS sempena majlis makan malam anjuran AMANAH Kelantan di Petaling Jaya, Januari lalu.
