HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jamal direman 2 hari kerana ugut Zaid

-

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

0
Shares
Total Views: 1
Imran-Tamrin-jamal
PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang ditahan semalam, direman 2 hari mulai hari ini kerana mengugut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Penasihat undang-undang Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Jamal disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil kerana menghina.

“Pegawai penyiasat memohon reman 4 hari, tetapi kami bantah dan majistret berikan reman 2 hari bermula hari ini.

“Pihak penyiasat masih menjalankan siasatan terhadap Jamal. Kalau tidak ada apa-apa, esok akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jamal ditahan di Pusat Dagangan Dunia Putra dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 9.25 malam Sabtu dengan tangan bergari.

Rabu lalu, Jamal membakar keratan gambar mirip Zaid selepas didakwa mengguris hati Sultan Selangor serta rakyat negeri itu.

Ia disusuli tindakannya membawa tukul dan mengugut akan memecahkan kepala ahli DAP itu, jika tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya kerana mengkritik Sultan Selangor, Jumaat lalu.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilaporkan berkata, agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.

Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Sultan Selangor kemudiannya dilaporkan mendakwa kenyataannya mengenai Dr Mahathir sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia (Zaid) duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Imran mempersoalkan polis yang sehingga kini belum mengambil tindakan terhadap Zaid.

“Kita masih menanti pihak berkuasa ambil tindakan terhadap Zaid. Laporan polis telah kita buat sebelum ini.

“Kita memohon ambil tindakan segera pada Jamal. Jamal sudah ditahan, Zaid bila?” soalnya.

Jamal ditahan akibat ugut pecahkan kepala Zaid

Jamal ugut pecahkan kepala Zaid dengan tukul

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.