HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Isa disoal Bukit Aman mengenai isu Jalan Semarak

-

Bekas pengerusi Felda itu merupakan orang ke-9 dipanggil berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Kuala Lumpur.

0
Shares
Total Views: 1
isa-samad-felda

KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad hari ini disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Isa hadir bersama 4 pegawai khas pada 10.30 pagi tetapi melalui pintu bawah Menara 238 yang menempatkan jabatan itu.

Polis akan menyambung mengambil keterangannya selepas rehat solat Jumaat.

“Kita telah temuduga dan sedang dalam proses merakam percakapan Isa dan masih belum selesai lagi,” kata Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Menurutnya, Isa merupakan individu ke-9 dipanggil polis memberi keterangan berhubung isu Jalan Semarak itu.

Menurutnya, seorang lagi pegawai Felda akan disoal Isnin ini, tetapi enggan menamakannya.

“Tak perlu saya beritahu,” katanya.

Polis menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak 4 bidang tanah Felda di Jalan Semarak

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.