HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Nufam gesa buka semula kes Malaysia Airlines buang 6,000 pekerja

-

Nufam turut menggesa menteri sumber manusia mengkaji semula masalah dihadapi Rayani Air dan Eaglexpress yang menjejaskan pekerja syarikat penerbangan itu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today

PETALING JAYA:
Persatuan mewakili pramugara dan anak kapal menggesa Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran membuka semula kes 6,000 pekerja Malaysia Airlines yang diberhentikan secara paksa pada 2015, isu Rayani Air dan Eaglexpress.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah tindakan berat sebelah terhadap pekerja terbabit.

“Sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil terhadap pihak pengurusan syarikat penerbangan yang telah melanggar undang-undang buruh.

“Banyak perkara tidak mengikut landasan undang-undang semasa kerajaan lama. Ada antara syarikat penerbangan ini juga mendapat perlindungan dari menteri lama.”

Pada 1 Jun 2015, Malaysia Airlines mengumumkan pemberhentian 6,000 pekerjanya dalam program penstrukturan semula syarikat itu. Kira-kira 3,500 daripada mereka bernaung di bawah Nufam.

Pada Julai 2017, Nufam mempersoalkan Kementerian Sumber Manusia mengapa belum membawa kes pembuangan 3,500 pekerja Malaysia Airlines yang difailkan pada 2015 ke Mahkamah Perusahaan.

Hari ini, Nufam berkata, ramai bekas pekerja itu masih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang hilang kelayakan untuk bekerja semula di MAS.

“Kesatuan juga mohon menteri baru selidik semula fail aduan dan surat memorandum kesatuan yang sudah dihantar kepada kementerian sebelum ini.

“Mengapa memorandum ini semua tidak ada jawapan atau balasan rasmi? Ia melibatkan isu dan masalah yang dihadapi kesatuan dan pekerja di syarikat penerbangan.”

Katanya, Aidilfitri tahun ini menandakan tahun ke-3 bagi ramai bekas pekerja itu yang tidak berkemampuan meraikan perayaan itu.

“Sehingga lewat semalam, ramai antara pekerja yang dihentikan syarikat penerbangan seperti Rayani Air dan Eaglexpress masih menghubungi pihak kesatuan.”

Pada 13 Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air kerana melanggar syarat lesen, selain kurang keupayaan kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Pada hari sama, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) turut membatalkan sijil pengendali udara (AOC) Rayani Air untuk kembali beroperasi.

Pada Disember tahun sama, Mavcom melarang Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd membawa penumpang, mel atau kargo bagi tujuan sewaan atau upah bagi mana-mana perjalanan domestik atau antarabangsa, selepas membatalkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) syarikat penerbangan sewa khas itu.

2 tahun selepas buang pekerja, Malaysia Airlines bakal umum jawatan kosong

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.