HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Untuk kekal releven MCA perlu kerjasama dengan PAS, kata penganalisis

-

Bagaimanapun sukar untuk dijangka berapa lama PAS dan MCA boleh bekerjasama berdasarkan haluan perjuangan 2 parti itu yang berbeza.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
MCA tidak memberi nilai tambah kepada PH dalam keadaan DAP sudah menguasai sokongan pengundi bukan-Melayu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Kerjasama PAS dan MCA adalah satu perkara yang terpaksa dilakukan untuk kepentingan politik bersama sebagai pembangkang, kata seorang penganalisis politik.

Bagaimanapun kata Kamarul Zaman Yusoff, sukar untuk menjangkakan berapa lama PAS dan MCA boleh bekerjasama berdasarkan haluan perjuangan 2 parti itu berbeza.

“PAS umumnya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh menerima agenda perjuangannya., sementara MCA diketahui umum menentang keras agenda perjuangan Islam PAS, termasuk RUU 355.

“Selama mana agenda perjuangan PAS tidak menonjol, kerjasama ini boleh bertahan, tetapi sukar dibayangkan untuk ia bertahan jika agenda perlaksanaan Islam yang kritikal menjadi isu,” katanya kepada FMT.

Selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, PAS dilihat lebih berlembut untuk bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC dan hasil kejayaannya boleh dilihat pada keputusan pilihan raya kecil Cameron Highlands bulan lepas yang memihak kepada mereka dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pemerintah.

Free Malaysia Today
Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul Zaman berkata, MCA tidak ada pilihan kerana untuk kekal releven mereka perlu bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain seperti PAS, atau mereka akan mengalami nasib seperti Gerakan yang tidak mampu bangkit selepas keluar daripada BN.

“MCA berdepan jalan buntu dalam politik sekarang. Jika ia keluar BN seperti Gerakan, ia tidak akan mampu ke mana-mana kerana selama ini ia hidup atas sokongan pengundi Melayu. Ia kini tidak berupaya menarik sokongan pengundi bukan-Melayu.

“Untuk MCA menyertai PH adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana ia tidak akan memberi nilai tambah kepada PH dalam keadaan DAP sudah menguasai sokongan pengundi bukan-Melayu.

“Sebab itulah MCA terpaksa menelan kata-katanya untuk keluar BN jika Umno bekerjasama dengan PAS. Malah kini ia pula sedia bekerjasama dengan PAS,” katanya.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu juga tidak menolak kemungkinan sebahagian besar pengundi bukan-Melayu yang menolak BN sebelum ini akan kembali menyokong parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat ada saat sokongan kepada PH semakin merosot.

“Pengundi bukan-Melayu yang bersikap keras terhadap Islam dan Melayu memang sudah sedia menjauhi PAS, tetapi ada kemungkinan sebahagian daripada mereka yang menolak BN kerana isu skandal 1MDB dan rasuah lain akan kembali kepada BN dalam PRU ke-15,” katanya.

PAS sebelum ini berkata parti itu bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk MCA, dalam menangani isu kepentingan rakyat dan negara.

Sebelum ini, Naib Presidennya, Idris Ahmad dilaporkan berkata, MCA bukanlah masalah kepada PAS atau sebaliknya sekiranya kedua-dua parti bersetuju untuk bekerjasama selepas ini selagi ia tidak bertentangan dengan pendirian dan teras perjuangan PAS untuk menjaga agama dan bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu merupakan respons terhadap kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, yang berkata, parti itu bersedia bekerjasama dengan PAS dalam isu membabitkan kepentingan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.