HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jabatan Perikanan: Tiada antibiotik terlarang dalam sampel udang tempatan

-

Terdahulu akhbar melaporkan terdapat penternak udang tempatan menggunakan bahan antibiotik terlarang yang menyebabkan larangan import dikenakan oleh USFDA.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Industri ternakan udang tempatan mengeluarkan hampir 50,000 tan metrik hasil setiap tahun yang menyumbang sebanyak 13% kepada kuantiti pengeluaran akuakultur Malaysia. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA:
Tiada bahan antibiotik terlarang dikesan dalam 2,466 sampel udang tempatan yang dianalisis di makmal Biosekuriti Perikanan sejak tahun 2008 hingga kini, kata Jabatan Perikanan (DOF).

DOF berkata, sekatan eksport udang yang dikenakan pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) juga tidak melibatkan keseluruhan eksport produk akuakultur negara dan hanya dikenakan kepada syarikat yang didapati positif kesan antibiotik sahaja.

“Difahamkan syarikat berkenaan telah pun menutup operasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

DOF berkata, pihaknya turut mengesyaki terdapat elemen pemindahan yang mengimport udang dari luar negara dan mengeksport semula ke Amerika Syarikat di luar pemantauan rasmi DOF.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa penternak udang tempatan menggunakan bahan antibiotik terlarang yang menyebabkan larangan import dikenakan oleh USFDA.

DOF berkata, pihaknya mengambil serius terhadap laporan itu yang boleh menimbulkan taksiran yang negatif terhadap industri ternakan udang di Malaysia.

Katanya, DOF melaksanakan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana ladang ternakan yang didapati positif menggunakan antibiotik terlarang melalui program Pemantauan Residu Akuakultur (ARMP) dan program Sanitasi dan Fitosanitasi Akuakultur (SPS Akuakultur).

“Persampelan dijalankan ke atas sampel udang dan ikan untuk memantau kandungan antibiotik, iaitu chloramphenicol (CAP), Nitrofuran (NF) dan Nitroimidazole (NI),” katanya.

DOF berkata, negara seperti Australia juga mengiktiraf peranan DOF dalam mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan, termasuk hasil ikan yang dieksport ke negara itu, manakala Singapore Food Agency (SFA) memaklumkan udang yang diimport dari Malaysia tidak pernah dikesan mengandungi CAP atau NF.

Setiap tahun, industri ternakan udang mengeluarkan hampir 50,000 tan metrik hasil yang menyumbang sebanyak 13% kepada kuantiti pengeluaran akuakultur Malaysia.

“Industri ini melibatkan kira-kira 1,200 penternak udang, 40 buah hatcheri pembenihan udang dan 15 kilang pemprosesan yang menyumbang kira-kira RM1.3 bilion atau 45% daripada jumlah eksport perikanan,” kata DOF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.