Kebanyakan pesakit yang ditemui berkaitan dengan katarak adalah disebabkan faktor usia.
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2020%2F01%2Fkatarak-operation.jpg&w=3840&q=75)
Menurut Dr Laila, protein kanta mata berubah seiring dengan usia pesakit dan ia secara perlahan-lahan mengurangkan ketelusan penglihatan dan pada akhirnya menghalang cahaya daripada memasuki mata.
Selain itu, katarak yang disebabkan trauma pada mata juga mampu membuat seseorang itu juga menjadi buta.
Untuk pengetahuan, protein kanta mata adalah sangat sensitif dan sebarang kecederaan kecil yang berlaku kepada kanta asli akan mengubah struktur proteinnya yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur.
Bukan sahaja kepada orang dewasa malah ia juga boleh berlaku kepada kanak-kanak.
Ia disebut sebagai “Congenital Cataract” di mana bayi yang memiliki masalah katarak akan mempunyai refleks “pupil” yang berwarna keputihan apabila cahaya memasuki mata.
Warna yang normal bagi refleks cahaya adalah sedikit merah jambu-keorenan.
Individu terbaik yang menyedari berkenaan perubahan ini adalah ibu kepada bayi tersebut.
Sebab itulah jika si ibu menyedari refleks yang berlainan pada mata bayi mereka, anda perlu merujuk kepada pegawai perubatan dengan kepakaran oftalmologi atau kepada pakar mata tanpa mengira penemuan awal mereka.
Apakah tanda atau simptom sekiranya kita memiliki katarak?
Aduan yang biasa diterima berkaitan katarak adalah penglihatan yang terhad yang tidak boleh diperbaiki walaupun memakai cermin mata.
Simptom-simptom awal yang boleh berlaku termasuklah silau terutamanya pada waktu malam.
Sesetengah individu akan mengalami kesukaran untuk memandu dan menjadikan mereka pemandu yang kurang cermat.
Dalam kalangan kanak-kanak pula, di samping refleks cahaya yang berwarna keputihan, kadangkala mereka juga akan menjadi juling disebabkan oleh kurangnya rangsangan cahaya pada bahagian mata yang terjejas.
Apakah penyebab utama bagi masalah katarak ini?
Penyebab utama bagi masalah katarak ini adalah faktor peningkatan usia.
Inilah sebabnya mengapa saya selalu menekankan agar tidak perlu takut terhadap katarak.
Sekiranya kita ditakdirkan untuk hidup lebih lama, pada akhirnya kita juga akan mendapat katarak.
Kita hanya perlu memahaminya, menerima hakikat bahawa kita memiliki katarak dan dapatkan rawatan yang sepatutnya.
Ia boleh dirawat melalui pembedahan.
Adakah terdapat sebarang faktor lain yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mendapat katarak dan adakah ia juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan?
Perkembangan katarak boleh menjadi lebih pantas melalui beberapa keadaan, seperti diabetes yang tidak dikawal dengan baik, sejarah pembedahan okular atau keradangan, sejarah trauma pada bahagian mata dan penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti ubat-ubatan yang mengandungi steroid.
Setiap individu juga perlu berhati-hati terhadap ubat-ubatan atau persediaan tradisional yang tidak berdaftar kerana pada kebiasaannya ia turut mengandungi steroid.
Dalam kalangan kanak-kanak, katarak yang berlaku juga boleh disebabkan faktor keturunan ketika mereka masih berada di dalam rahim ibu mereka.
Apakah jenis pilihan rawatan yang tersedia bagi merawat katarak?
Satu-satunya rawatan bagi merawat katarak adalah melalui pembedahan untuk membuangnya.
Ia diikuti oleh prosedur implan kanta intraocular buatan.
Sehingga hari ini, tidak terdapat sebarang ubat titis atau ubat-ubat khusus yang boleh menukarkan kembali perubahan yang telah berlaku terhadap protein kanta.
Sekiranya anda melihat sebarang iklan yang menyatakan bahawa terdapat ubat-ubatan atau ubat titis yang boleh merawat katarak, ia adalah 100% scam perubatan.
Berapakah kos bagi seseorang yang ingin melakukan pembedahan katarak?
Harga kanta intraokular buatan bergantung kepada pelbagai jenis dan jenama.
Jenis yang paling biasa berharga sekitar RM800, manakala bagi jenis yang lebih premium berharga sekitar RM3,000.
Pemilihan dan kesesuaian kanta perlu dinilai terlebih dahulu dan dibincangkan dengan doktor yang terlibat dalam merawat pesakit.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram