HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Waytha gesa kerajaan batal projek empangan Nenggiri

-

Tapak projek empangan Nenggiri penting dari segi sejarah kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

0
Shares
Total Views: 2
Free Malaysia Today
Penduduk Orang Asli mengadakan protes terhadap pembinaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Bekas menteri perpaduan P Waytha Moorthy menggesa kerajaan membatalkan projek empangan hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dengan berkata, tapak projek itu penting dari segi sejarah kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu berkata, projek berkenaan telah dipertimbangkan semula semasa beliau menjadi menteri perpaduan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan potensi kesan alam sekitar dan kemusnahan petempatan Orang Asli.

“Penilaian kesan warisan (HIA) yang dijalankan oleh Adi Taha, iaitu bekas pengarah Muzium Negara, membawa kepada penemuan sisa rangka dari 8,000 hingga 10,000 tahun lalu di tapak gua purba di kawasan itu dan lebih banyak kajian diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Waytha turut mempersoalkan sama ada negara mahu melindungi dan mengkaji warisannya sendiri atau “berkompromi dengan keturunan akan datang” untuk membina projek empangan.

Beliau menggesa kerajaan menjaga hak Orang Asli yang telah lama menetap di Gua Musang dan mempertimbangkan untuk mewartakan kawasan itu yang dianggap tanah nenek moyang mereka.

Beliau juga menyeru Putrajaya supaya meneroka kaedah alternatif untuk menangani permintaan tenaga negeri dan masalah banjir.

“Orang Asli telah lama menjadi mangsa perancangan rabun dan tamak. Mereka berhak mendapat penghormatan dan akses sama seperti diberikan kepada setiap rakyat Malaysia oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Respons Waytha adalah susulan pengumuman Putrajaya bahawa projek empangan itu akan diteruskan kerana ia tidak melihat sebab untuk membatalkannya.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata, projek itu bertujuan memenuhi tiga objektif utama – sebagai penjana elektrik, tebatan banjir dan sumber air bersih. Selain empangan itu akan mempromosi aktiviti ekopelancongan.

Beliau juga berkata, projek itu mendapat sokongan lebih 80% responden berdasarkan beberapa kajian lepas dan penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA) dan HIA telah dijalankan.

Takiyuddin berkata, pelaksanaan projek itu juga akan melibatkan penempatan semula masyarakat Orang Asli di tiga kampung dengan pembiayaannya disediakan oleh kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad.

“Mereka bukan sahaja akan diberikan rumah, tetapi juga ladang dan kemudahan lain,” katanya.

Kenyataannya itu adalah susulan dakwaan pihak yang menentang projek itu bahawa pembinaannya akan menjejaskan kehidupan Orang Asli di kawasan itu.

Pada 7 Jun, ratusan Orang Asli dari Gua Musang berdemonstrasi di hadapan kompleks pejabat perdana menteri di Putrajaya untuk membantah rancangan pembinaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.