HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tuduhan terhadap kerani dalam kes basikal lajak cacat, prejudis, mahkamah diberitahu

-

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa pendakwaan sering ‘mengalih tiang gol’.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Sam Ke Ting (jaket kelabu) bersama peguamnya Faizal Mokhtar (dua dari kiri) dan Hisyam Teh Poh Teik (kiri) selepas pendengaran di Mahkamah Rayuan.

PUTRAJAYA:
Seorang kerani yang didapati bersalah memandu dengan cuai atau secara bahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak disabitkan dengan tuduhan cacat, yang tidak dibenarkan oleh undang-undang, Mahkamah Rayuan diberitahu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, Sam Ke Ting, 28, sepatutnya dituduh sama ada “memandu melulu” atau “memandu secara bahaya”, bukan kedua-dua tuduhan itu “digabungkan”. Tuduhan ini adalah salah,” katanya.

Kesalahan seperti itu tidak mampu dipulihkan bawah Seksyen 422 Kanun Prosedur Jenayah dan membangkitkan “kegagalan terhadap keadilan”, kata Hisyam kepada panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail.

Hakim lain adalah Hashim Hamzah dan Azman Abdullah.

Kesannya, berlaku “prejudis secara serius dan perayu diperdayakan di peringkat pendakwaan serta pembelaan,” katanya. “Kami membangkitkan perkara ini untuk pertama kali demi kepentingan keadilan.”

Hisyam berkata, pendakwaan di Mahkamah Majistret memfokuskan kesnya terhadap “memandu melulu”. Bagaimanapun, ia ditukar kepada “memandu secara bahaya” apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Rayuan, pendakwaan kelihatan untuk menumpukan “tidak membahagikan tindakan melulu atau memandu secara bahaya,” kata Hisyam.

“Sekali lagi perayu berada dalam keadaan tidak menguntungkan kerana mereka mengalihkan tiang gol,” katanya.

Seorang lagi peguam Sam, Harvinderjit Singh berkata, Mahkamah Tinggi juga gagal mempertimbangkan pembelaan Sam di peringkat pendakwaan.

“Beliau sepatutnya dilepaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Sam dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan merayu keputusan itu, dan pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membatalkan keputusan itu dan memutuskan wanita itu bersalah atas tuduhan memandu secara cuai atau bahaya.

Hakim Abu Bakar Katar turut menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Sam.

Sam didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhammad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

Hakim juga menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan Sam menjalani hukuman penjara serta-merta.

Pada 18 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Sam diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Mahkamah Rayuan akan mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman pada 11 April ini.

Pasukan peguam Sam turut dianggotai Faizal Mokhtar, Guok Ngek Seong, Yasmeen Soh dan Peter Siew.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.