HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jepun diminta pertimbang pelepasan air sisa nuklear

-

Sebuah institut marin Jerman berkata, arus laut kuat di sepanjang pantai Jepun boleh menyebarkan isotop radioaktif ke seluruh Pasifik.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Jepun dilaporkan bersedia melepaskan air sisa tercemar dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi ekoran tsunami pada 2011 ke Lautan Pasifik selepas proses penapisan. (Gambar AP)

PUTRAJAYA:
Dua pakar maritim Malaysia meminta Jepun mempertimbangkan rancangan melepaskan 1.25 juta tan air sisa tercemar daripada pencairan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi pada 2011 ke Lautan Pasifik.

Bekas ketua pengarah Institut Maritim Malaysia (Mima), Laksamana Pertama (B) Chin Yoon Chin dan Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas), Mejar Jeneral Ya’cob Samiran menyuarakan kebimbangan mereka berhubung risiko pelepasan air sisa tercemar itu kepada hidupan marin serta manusia.

Terdahulu, Institut Sains Marin Jerman mendakwa arus laut paling kuat di dunia di sepanjang pantai Jepun akan menyebarkan isotop radioaktif ke seluruh Pasifik.

Walaupun pelbagai bantahan disuarakan masyarakat antarabangsa, Jepun berkata, ia akan melepaskan air sisa tercemar ke laut tahun ini. Proses itu dijangka mengambil masa 30 tahun, lapor akhbar Yomiuri Shimbun.

Chin berkata, Jepun tidak patut menggunakan laut sebagai “tapak pelupusan” tanpa mengambil kira bahayanya terhadap alam sekitar.

“Ketika ini, laut dipenuhi serpihan dibuang manusia sembarangan. Jika amalan sedemikian berterusan tanpa kawalan, ia akan memusnahkan sumber marin seperti terumbu karang, ikan, moluska dan makanan laut lain – menjejaskan keselamatan makanan bagi generasi akan datang,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menggesa peraturan atau protokol ditetapkan, dengan negara perlu tertakluk kepada pemeriksaan badan berkuasa bebas dilantik sebelum melepaskan bahan tercemar ke laut.

“Perlu ada usaha bersepadu oleh negara yang mengendalikan penjana kuasa nuklear untuk tidak mencemarkan lautan bagi memastikan kelestarian hidupan marin secara berterusan.”

Sebagai penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (Unclos), Chin berkata, Jepun bertanggungjawab memelihara persekitaran marin dan memastikan air sisa tercemar dibersihkan ke tahap selamat.

Menurut laporan Reuters, Kementerian Luar Jepun berkata, pengawal selia menganggap ia selamat untuk melepaskan air, yang akan ditapis bagi mengeluarkan kebanyakan isotop, tetapi masih akan mengandungi kesan tritium, isotop hidrogen sukar dipisahkan daripada air.

Ya’cob berkata, melepaskan air sisa radioaktif terawat ke laut membawa beberapa risiko berpotensi, walaupun air sisa itu ditapis dan dianggap selamat oleh pihak berkuasa.

Selain risiko kesihatan, katanya, pelepasan air sisa boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi, seperti keyakinan orang ramai terhadap industri makanan laut terhakis, selain mencetuskan ketegangan geopolitik yang mungkin menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik di rantau ini.

“Jika timbul kebimbangan atau ketidakpastian ketara, lebih bijak menilai semula rancangan itu dan mencari alternatif lain bagi mengelakkan kemudaratan lanjut terhadap alam sekitar dan komuniti terjejas,” katanya kepada FMT.

Tetapi, Ya’cob berkata, ada keadaan tertentu di mana pelepasan bahan radioaktif ke laut dibenarkan di bawah garis panduan dan langkah perlindungan tertentu, seperti ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Pelepasan ini mesti dalam had dibenarkan dan tertakluk kepada kawalan ketat untuk memastikan pendedahan kepada manusia dan kesan alam sekitar minimum.”

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad enggan mengulas ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.