Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam, apabila sekumpulan burung kuang yang terbang bersama tiba-tiba melanggar dinding kaca berwarna hitam sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas.
Difahamkan, bangkai 10 ekor burung itu terjatuh di atas tanah, manakala tiga lagi dijumpai di atas kerangka besi di luar balkoni.
Akhbar China Press memetik seorang pekerja kilang terbabit yang enggan dikenali sebagai berkata, ini adalah kejadian pelik pertama yang dialaminya sejak beliau bekerja di sana lebih 30 tahun.

Ketika kejadian, beliau sedang berjalan di koridor tingkat dua dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat sebelum ternampak tiga ekor burung kuang terlantar di atas kerangka besi di luar balkoni.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam ekor burung itu adalah jantan dan disebabkan pihak pengurusan kilang mempunyai kawalan ketat terhadap tahap kebersihan, bangkai haiwan itu telah diserahkan kepada kontraktor sampah.
Pekerja berbangsa Cina itu berpendapat, ketika kejadian kumpulan unggas itu baru keluar dari kawasan hutan yang terletak di bahagian kiri kilang terbabit untuk berhijrah ke kawasan baru secara berkumpulan.
Kejadian pelik itu hangat diperkatakan di kawasan terbabit dengan ada yang bimbang ia mungkin petanda buruk terhadap apa yang bakal berlaku kelak.
Tidak kurang yang berpendapat kumpulan unggas itu mencari tempat perlindungan baru, kerana tidak tahan dengan cuaca panas yang melanda negara baru-baru ini.
Ada pula yang berpandangan kejadian pelik itu tiada kaitan dengan cuaca panas, sebaliknya mungkin kumpulan burung kuang itu terkejut atau habitat ia diterokai sehingga memaksa mereka berpindah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram