Perkongsian seorang lelaki dijangkiti penyakit Sporo dalam laman sosial baru-baru ini menarik perhatian netizen termasuk rasa ingin tahu mengenai penyakit itu sendiri. Menurut pesakit itu, dia menghidapnya sejak sembilan bulan yang lalu selepas digigit kucing yang dijangkiti penyakit tersebut.
Lantaran itu, pelbagai pihak mengutarakan pandangan masing-masing termasuk supaya mereka yang mempunyai kucing supaya berhati-hati dan menjaga kebersihan kucing agar tidak dijangkiti.
Ekoran itu, FMT mendapatkan nasihat dan bimbingan perubatan seorang pegawai verteriner, Dr Chan Sze Min sebagai panduan dan amaran kepada para pemelihara haiwan seperti kucing dan anjing.
“Sporo ialah penyakit yang mudah menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Kebiasaannya haiwan yang terdedah kepada aktiviti luar lebih mudah dijangkiti penyakit ini menerusi kulat Sporo. Kulat tersebut akan masuk ke badan melalui mulut atau luka atau kedua-duanya dan luka tersebut tidak akan kering walaupun dirawat,” katanya dalam temubual di Hospital Verteriner Universiti Putra Malaysia (UPM).
Lebih buruk, penyakit ini juga boleh memberi kesan kepada manusia termasuk menyebabkan kematian sekiranya haiwan yang dijangkiti menggigit atau mencakar kita.
Daripada aspek badan manusia, kesan daripada jangkitan kuman Sporo hanya dapat dirasai selepas dua bulan iaitu melalui simptom seperti bengkak dan bisul.
“Kegagalan untuk mendapatkan rawatan segera menyebabkan bisul-bisul ini tumbuh di sepanjang nodus limfa dan paling teruk, ia boleh merebak ke dalam paru-paru dan seluruh badan, akhirnya menyebabkan kematian,” katanya.
Sze Min menambah, mana-mana individu yang terkena gigitan haiwan yang dijangkiti Sporo, mestilah mendapatkan rawatan segera dan mencuci luka daripada gigitan itu serta-merta.
Bagi mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingini, doktor itu menyarankan agar pemilik haiwan yang telah dijangkiti Sporo memakai sarung tangan ketika mengendalikan haiwan tersebut.
“Langkah ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada dijangkiti penyakit Sporo sekiranya terkena gigitan kucing atau anjing tersebut selain mengekalkan kebersihan pengendali,” katanya.
Bagi rawatan kepada haiwan peliharaan yang dijangkiti Sporo, Sze Min berkata rawatan antifungul adalah kaedah paling lazim di samping cryosurgery sebagai rawatan alternatif.
Rawatan bagi penyakit ini juga diakui menelan kos yang tinggi selain prosedur yang khusus bagi haiwan peliharaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram