HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Lagi pekerja hilang pekerjaan menjelang Raya

-

Lebih menyedihkan apabila ia membabitkan pekerja beragama Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan yang sama mereka diberhentikan kerja.

0
Shares
Total Views: 1

kilangbesi

BANGI:
Kira-kira 32 orang pekerja sebuah kilang besi di sini putih mata selepas operasi kilang tersebut dikhabarkan akan ditutup pada 15 Julai akan datang.

Lebih menyedihkan apabila ia membabitkan pekerja beragama Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan yang sama mereka diberhentikan kerja.

Zainuddin Salam, 57, berkata tindakan majikannya itu menyebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini kurang meriah.

“Saya belum membuat apa-apa persiapan pun untuk sambutan hari raya yang tidak lama sahaja lagi. Saya tak sampai hati sambut dalam situasi begini.

“Majikan boleh memberi pelbagai janji manis, tetapi jika soal pampasan tidak dipertimbangkan, masalah besar bagi saya dan pekerja lain seperti saya,” katanya sewaktu ditemui pemberita, di Pejabat Tenaga Kerja, Bangi, hari ini.

Pekerja juga mengeluh bahawa pemberhentian kerja secara serta-merta mungkin akan menyebabkan mereka menanggung beban hutang bersendirian.

Balakrishnan Sinalagan, 51 berkata selain risau akan hilang punca pendapatan, beliau bimbang masih belum menerima sebarang notis pampasan sedangkan notis penutupan operasi telah diberikan.
“Saya sudah tua, siapa lagi yang mahu mengambil saya bekerja? Saya masih terikat untuk bayar balik hutang yang banyak setiap bulan. Mulai bulan depan, kewangan saya akan menjadi rumit dan saya tidak pasti bagaimana untuk uruskannya,” katanya yang sudah bekerja lebih 20 tahun di syarikat berkenaan.

Ketiadaan kata putus mengenai pampasan menjadi kebimbangan utama pekerja yang rata-rata bekerja untuk tempoh yang agak lama.

Sementara itu, AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Tabung Pemberhentian Kerja bagi membela nasib pekerja yang semakin ramai terperangkap dalam kekangan ekonomi ini.

“Krisi ekonomi melanda negara setiap 10 tahun sekali dan impaknya kepada majikan daripada meneruskan operasi dan pekerjanya yang terpaksa dihentikan kerja.

“Syarikat muflis dan pekerja hilang punca pendapatan secara tiba-tiba. Lebih buruk, pekerja tidak dibayar gaji dan pampasan. Walaupun menang di mahkamah buruh, peluang untuk pekerja mendapat ganti rugi amat tipis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.