
China General Nuclear Power Group (CGB) memulakan pembinaan reaktor ACPR50S, dan akan memperoleh kebuk tekanan reaktor yang mengurungi teras reaktor daripada Dongfang Electric, kata CGN dalam satu kenyataan Jumaat lepas.
Reaktor 200-megawat itu akan membantu China membekalkan elektrik kepada kemudahan luar pantai China di laut terbuka dan pulau terumbu, kata CGN, dan menambah bekalan elektrik luar pantai antara isu yang perlu diselesaikan sekiranya China mahu menjadi kuasa laut.
Projek ACPR50S diluluskan oleh badan perancang ekonomi negara itu, National Development and Reform Commission pada awal tahun ini, bersama rancangan pembinaan reaktor terapung ACP100S oleh China National Nuclear Corp dan cadangan China Shipbuilding Industry Corp untuk mengubah kemudahan nuklear tentera luar pantai menjadi stesen janakuasa terapung untuk kegunaan awam.
Pada Julai, media China melaporkan negara itu berhasrat untuk melancarkan siri platform kuasa nuklear bagi mengalakkan pembangunan di Laut China Selatan, selepas mahkamah antarabangsa memutuskan Beijing tidak mempunyai tuntutan sejarah ke atas sebahagian besar perairan itu.
Kedaulatan ke atas Laut China Selatan direbut China, Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan, justeru langkah untuk membina reaktor nuklear akan menambah ketegangan di rantau itu.
Reaktor terapung mula dicadangkan di Amerika Syarikat pada 1970an tetapi diabaikan. Demonstrasi pertama teknologi itu akan dilancarkan di Rusia tahun depan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram