Persatuan perubatan: Hospital tak boleh tolak kes kecemasan

Persatuan perubatan: Hospital tak boleh tolak kes kecemasan

Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu berkata, nyawa pesakit perlu diutamakan, bukannya wang.

mma
PETALING JAYA: Hospital kerajaan dan swasta tidak boleh menolak rawatan kepada pesakit ketika kecemasan atau dalam keadaan nyawa terancam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R Naidu berkata, doktor mempunyai tanggungjawab memberi sekurang-kurangnya rawatan asas kepada pesakit, tidak kira warga tempatan atau asing, berdasarkan etika perubatan.

“Tugas kita ialah menyelamatkan nyawa. Wang tidak harus menjadi isu.

“Tidak ada hospital yang patut menolak mereka yang memerlukan bantuan,” katanya kepada FMT.

Ravindran mengulas laporan kematian seorang warga Singapura berusia 25 tahun yang menjadi mangsa langgar lari di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah didakwa menangguhkan rawatan sehingga mendapat bayaran wang tunai daripada keluarga atau rakan mangsa.

Akhbar Singapura, The Independent melaporkan Justinian Tan dinafikan mendapat imbasan perubatan awal sehingga bayaran tunai dibuat.

Selepas penantian selama 5 jam untuk mendapatkan rawatan, rakan Tan menghubungi Kedutaan Singapura yang menghantar sebuah ambulans persendirian untuk membawa mangsa pulang ke negara itu.

Bagaimanapun, selepas tiba di Hospital Besar Singapura, doktor di sana memaklumkan mereka tidak mampu menyelamatkan Tan kerana terlalu banyak masa dibazirkan.

Dalam kes sedemikian, Dr Ravindran berkata, hospital perlu menstabilkan pesakit terlebih dahulu sebelum merujuk beliau ke hospital atau pakar lain untuk rawatan lanjut.

Katanya, hospital boleh meminta bayaran selepas nyawa pesakit tidak lagi terancam.

Lelaki Singapura maut selepas hospital Johor minta bayaran sebelum dirawat

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.