
Pengerusi Page Noor Azimah Rahim berkata satu cara memastikan Bahasa Melayu tidak diabaikan adalah berkeras memastikan pelajar yang memasuki sekolah aliran Inggeris mencapai markah purata kebangsaan untuk Bahasa Melayu.
“Kita harus terima hakikat sekolah aliran Melayu tidak menghasilkan guru Bahasa Inggeris yang cemerlang.
“Banyak belanja dikeluarkan untuk program penutur asal dan walaupun berkesan ia tidak mampan,” katanya kepada FMT.
Azimah mengulas tinjauan Institut Iseas-Yusof Ishak dari Singapura bertajuk “Johor Survey 2017: Views on Identity, Education and the Johor Royal Family”.
Dalam tinjauan itu, 82% responden menyokong langkah memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.
Tinjauan mencadangkan sokongan kepada sekolah kerajaan aliran Inggeris berikutan sistem pendidikan Singapura, yang menghasilkan lepasan yang kompeten berbahasa Inggeris dan boleh bekerja di seluruh dunia.
Azimah berkata iltizam politik untuk merintis sekolah aliran Inggeris sudah pun ada, seperti yang dibuktikan oleh pendekatan radikal ke arah kemahiran berbahasa Inggeris, seperti yang dinyatakan dalam Fasa II Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
“Buat permulaan, para guru, termasuk guru Bahasa Inggeris di Johor, berkaliber tinggi.
“Kalau Jabatan Pendidikan Johor tumpu kepada mengadakan sekolah aliran Inggeris di setiap daerah, ia boleh dilakukan,” katanya.
Azimah turut mencadangkan pelajar lepasan sekolah itu dinasihatkan supaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom.
Beliau berkata perlu ada aturan untuk membolehkan pelajar tinggal bersama penutur asal atau dengan keluarga Islam untuk memenuhi keperluan budaya.
“Pulang untuk selesaikan diploma pendidikan dan kontrak sebagai guru Bahasa Inggeris untuk tempoh yang dipersetujui bersama.
“Pilihan untuk terus berkhidmat harus terbuka. Selepas itu, kamu boleh rebut semua peluang yang ada,” katanya.
Azimah berkata Sabah dan Sarawak harus menyokong sekolah aliran Inggeris dan mengambil guru tempatan.
“Tumpu kepada negeri yang boleh menerima manakala negeri lain yang membisu, tidak peduli atau menentang akan iri hati,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram