
Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Muhamad Yusof yang dikenali sebagai Yusof Azmi, 27 dan Ali atau Abang Ali, 50, ketika prosiding sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret hari ini.
“Saya baru menerima dokumen (berkaitan kes) tersebut. Saya perlu meneliti kandungan dokumen dan mendapat arahan daripada anak guam berkemungkinan pihak kami akan memasukkan representasi untuk kajian semula (pertuduhan). Pohon satu tarikh sebutan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi tidak membantah permohonan peguam itu.
Majistret Nor Afidah Idris menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Pada 24 Oktober lepas, Muhamad Yusof dan Ali mengaku tidak bersalah dengan niat bersama bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd di mana kesalahan tersebut dilakukan hasil daripada persubahatan bersama.
Muhamad Yusof dan Ali didakwa melakukan kesalahan itu di Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, pada 3.30 petang, 10 Julai lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka turut mengaku tidak bersalah dengan niat bersama bersubahat melakukan kesalahan pencerobohan jenayah antara 3.30 petang dan 7.30 malam, di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.