
Tetapi populasi di Kuching tidak mencerminkan demografi keseluruhan Sarawak di mana Dayak sebagai majoriti.
Penduduk di sini kebanyakannya Cina, sebagaimana 90% pengundi di Bandar Kuching.
Kerusi itu dibentuk pada 1970, dan sejak itu sentiasa diwakili seorang Cina.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pertama, mendiang Tan Sri Ong Kee Hui memegang kerusi itu sejak 1970 hingga 1982.

Pada pilihan raya umum 1982, Bandar Kuching pertama kali dimenangi DAP buat pertama kalinya apabila seorang calon muda DAP, Sim Kwang Yang, mengalahkan setiuasaha politik Ong, Loke Ying Ping.
Sim menjadi begitu terkenal selepas menjadi ahli Parlimen dan dianggap menyumbang kepada kebangkitan DAP di Sarawak. Dalam 3 penggal beliau sebagai ahli Parlimen sejak 1982 hingga 1995, beliau berjaya menarik ramai anak muda menyertai DAP.
Beliau mempunyai pengaruh yang kuat dan berjaya merekrut ramai golongan profesional menyertai DAP, yang mana ramai masih aktif dalam parti tersebut sehingga hari ini.
Sim akhirnya mengambil alih jawatan pengerusi DAP Sarawak daripada Chong Siew Chiang, bekas Adun SUPP yang juga salah seorang perintis DAP Sarawak.
Sim yang mempunyai latarbelakang pendidikan dari Kanada, menjadi pemimpin DAP paling menyerlah di Sarawak malah kemudiannya mengalahkan pengganti Ong, Tan Sri Stephen Yong, pada pilihan raya umum 1990.
Kemenangan menentang Yong itu sangat berharga buat DAP pada masa itu, kerana beliau juga adalah menteri persekutuan. Akibat kekalahan pada 1990, Yong terpaksa bersara dan digantikan oleh Tan Sri Dr Wong Soon Kai.
Personaliti
Sikap rendah diri Sim, gaya hidupnya yang sederhana, integriti dan kebijaksanaannya menjadikan beliau sangat dihormati rakyat.
Malahan, sesetengah pemimpin BN memperakui jasa cemerlangnya sebagai wakil rakyat.
Tetapi Sim, Loke, Yong dan Wong sudah meninggal dunia. SUPP berjaya mendapatkan semula Bandar Kuching daripada DAP pada 1995 apabila datuk bandar Kuching yang terkenal ketika itu, Datuk Song Swee Guan, mengalahkan Sim.
Song memenangi kerusi itu sekali lagi pada 1999 tetapi terpaksa letak jawatan sebagai ahli Parlimen selepas diisytiharkan muflis pada awal 2003.

Pada 2004, DAP berjaya meraih semula bandar Kuching menerusi Chong Chieng Jen, seorang peguam muda dan anak kepada Siew Chiang.
Chong yang muda itu berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya 2008 dan 2013.
Bandar Kuching sentiasa menjadi pergelutan antara DAP dan SUPP.
Pada PRU kali ini, kedua-dua musuh ketat itu bakal bertarung lagi untuk memenangi kerusi di ibu negeri itu.
Jika keputusan PRU13 dijadikan petunjuk, di mana Chieng Jen meraih kemenangan dengan majoriti 19,642 undian menentang lawannya daripada SUPP, Tan Kai, senario yang sama boleh dikatakan bakal berlaku pada PRU14.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram