HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Alumni bantah buka UITM kepada bukan Bumiputera

-

Persatuan alumni berkata UITM sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Persatuan alumni berkata langkah mencabar keistimewaan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR:
Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUITM) berteguh pendirian dan sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke pusat pengajian tempatan itu kepada semua kaum.

Presiden Datuk Mohd Zaini Hassan hari ini berkata persatuan itu yang mewakili 700,000 alumni UITM seluruh negara memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang antara lain mendesak agar kemasukan UITM dibuka kepada kaum lain.

Katanya, kedudukan UITM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUITM sedar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Hindraf hari ini menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15% pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UITM.

PAUITM mencadangkan agar kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu.

“Bagi memastikan UITM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) juga membantah tuntutan Hindraf yang mahu UITM dibuka untuk semua kaum, terutama kaum India daripada golongan B75.

Presiden Amir Hakimin Che Razali berkata semua pihak perlu faham, UITM diwujudkan supaya anak Melayu dan Bumiputera dapat melangkah ke universiti dan memperbaiki hidup mereka.

“UITM ini wujud untuk merapatkan jurang ekonomi bumiputera agar dapat bersaing dengan bangsa lain di Malaysia.

“Ia dibentuk untuk membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang. Mereka yang ada di kampung paling tersorok hari ini pun berpeluang masuk ke UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung adalah bertujuan mengubah destinasi anak bangsa.

“Penubuhan UITM adalah berdasarkan Akta 173 mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tujuan penubuhan ini untuk membantu bumiputera yang miskin dan tidak berkemampuan melanjutkan pendidikan tinggi. Ini disebabkan ramai orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amir Hakimin berkata penubuhan UITM tanggungjawab yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dalam semangat menjunjung satu daripada 7 titah wasiat Raja-raja Melayu.

“UITM berjaya melatih tenaga mahir, tenaga profesional bumiputera sekali gus turut memenuhi strategi serampang 2 mata Dasar Ekonomi Baru.

Tujuannya untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

“Selain itu, penubuhannya mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia, untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum, mengikut fungsi ekonomi,” katanya yang mahu kerajaan terus mempertahankan UITM dan mobilisasi sosial lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.