Kerajaan Terengganu sedia jadikan kawasan Masjid Kristal sebagai tahfiz

Kerajaan Terengganu sedia jadikan kawasan Masjid Kristal sebagai tahfiz

Cadangan itu satu cara menghidupkan persekitaran Masjid Kristal di samping ia kekal sebagai kawasan tarikan pelancongan yang boleh dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat.

Free Malaysia Today
Exco pelancongan negeri, Ariffin Deraman tidak menolak kemungkinan menjadikan kawasan Masjid Kristal sebagai Pusat Tahfiz Diraja seperti dicadangkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketika pelbagai tekanan dibuat pihak tertentu termasuk bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin agar kerajaan menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam, lain pula pendirian kerajaan Terengganu.

Terbaharu kerajaan negeri memaklumkan kesediannya membuka ebuah pusat Tahfiz di kawasan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata pembukaan pusat Tahfiz di situ antara perkara yang boleh dipertimbangkan sebagai satu cara untuk menghidupkan lagi persekitaran Masjid Kristal di samping ia kekal sebagai kawasan tarikan pelancongan yang boleh dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat.

“Cadangan untuk jadikan kawasan Taman Taman Islam di kawasan Masjid Kristal sebagai pusat Tahfiz kami sokong. Tanah sekitar kawasan itu luas, antaranya kita boleh wujudkan tahfiz, kita tak kata mesti dibuat tahfiz, tapi kita terima cadangan itu.

“Kami akan mengkaji. Tidak mustahil kita akan buat tahfiz, pembinaan penempatan itu dalam perancangan kita,” katanya kepada FMT ketika ditanya pendekatan kerajaan negeri pimpinan PAS untuk menghidupkan kawasan Taman Tamadun Islam di negeri itu.

Memandangkan kawasan Masjid Kristal agak jauh dengan petempatan orang ramai, Ariffin tidak menolak sekiranya kerajaan negeri membina petempatan baru di kawasan itu, termasuklah membina chalet bagi memudahkan pelancong menginap.

“Tidak mustahil juga kita adakan petempatan, kita bina chalet untuk pelancong. Itu dalam perancangan kita,” katanya.

Cadangan supaya kawasan Masjid Kristal dijadikan Pusat Tahfiz Diraja turut disuarakan veteran PAS, Subky Abdul Latif.

Ariffin turut menjawab isu dibangkitkan yang mempersoalkan kenapa kerajaan negeri tidak menjadikan Masjid Kristal sebagai tempat solat Jumaat.

Katanya, lokasi Masjid Kristal jauh dari kawasan petempatan orang ramai merupakan sebab utama solat Jumaat tidak dibuat di situ.

“Solat Jumaat belum dibuat di sana sebab kedudukannya jauh dari petempatan dan orang yang pergi ke sana pelancong sahaja.

“Kedudukannya sekarang ia dijadikan Masjid “Tourism”, kecuali ada perkembangan lain pada masa depan, sebab kawasan itu luas, kita bina petempatan baru dan mungkin pada masa itu kita boleh buat Solat Jumaat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.