HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penduduk tak setuju pembatalan 5 stesen LRT3

-

Penduduk sekitar Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botani setuju pengurangan kos LRT3 tetapi membantah tindakan kerajaan membatalkan stesen tersebut.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Penduduk sekitar Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botani mahu kerajaan mempertimbangkan pembatalan 5 stesen LRT3. (Gambar Bernama)

SELANGOR:
Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di 5 stesen yang dibatalkan, mendapat sokongan penuh penduduk sekitar agar ia diteruskan oleh kerajaan dan tidak dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Tinjauan FMT mendapati penduduk sekitar stesen Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botanik bersetuju jika kerajaan ingin mengurangkan set tren 6 gerabak kepada set tren 3, tetapi tidak bersetuju dengan pembatalan projek tersebut.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nur Alisa Zakaria dan jurutera, Muhammad Azim Alawi menyokong stesen LRT3 Sirim diteruskan kerana kawasan itu terdapatnya universiti awam dan swasta, malah menjadi kegunaan penduduk selain penggunaan bas dan Grab.

“Jika dah mula buat laluan tersebut, kerajaan tidak boleh batalkan 5 stesen ini kerana kos semua dah dikeluarkan.

“Satu stesen LRT perlukan satu kontraktor, kalau ia dihentikan mungkin kos pembinaan akan naik. Jika hendak ubah laluan dan mahu batal, perlu fikir betul-betul kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Pengunaan LRT di sini amat diperlukan bagi memudahkan semua penduduk ke bandar Kuala Lumpur dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang melampau pada waktu kemuncak di Shah Alam,” kata mereka.

Khamis lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata beberapa perubahan yang menurutnya merupakan langkah pengurangan kos sedang dilakukan terhadap projek LRT3. Set tren 3 gerabak, bukannya set 6 gerabak akan digunakan, saiz stesen dikecilkan, sementara terowong sejauh 2 kilometer dan sebuah stesen bawah tanah serta 5 yang lain dibatalkan.

Stesen tren yang dibatalkan ialah Lien Hoe, Temasya, Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botani.

Klang kawasan padat

Bagi penduduk Bukit Raja, Shaari Yusop dan Devi, mereka tidak setuju jika stesen LRT3 dibatalkan kerana penduduk di situ semakin padat.

“Jika ia dibatalkan sekarang, ia satu impak negatif pada kerajaan sekarang kerana pada masa akan datang ia akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Bukit Raja.

“Macam kawasan Klang ni, pada waktu kemuncak memang sesak terutama di Bukit Raja kerana ia berhadapan dengan hospital. Bila nak batal tu kena tengok dulu, jalan dekat sini sesak sangat sekarang semasa pembinaan stesen Bukit Raja dijalankan.

“Macam saya, sepatutnya perjalanan ke tempat kerja hanya 30 minit, sekarang sejam kerana sesak pada waktu kemuncak sebab laluan jalan hanya satu arah berbanding dahulu.

“Di sini nak pergi kerja pun susah, macam orang kelas pertengahan, saya lihat mereka selalu jalan kaki sahaja di sini sebab harga Grab mahal walaupun jarak dekat.

“Saya tidak kisah kalau kerajaan nak kurangkan kos untuk LRT3 dan jumlah bilangan kereta api lebih pendek, tak apa bagi kami. Janganlah batalkan LRT3 ini dan apabila ia siap, tepatilah waktu walaupun LRT3 ini kerajaan pendekkan, supaya jumlah kapasiti yang banyak boleh gunakan pada waktu kemuncak,” kata mereka.

Manakala penduduk Bandar Botani, Hazirah Faromi pula berkata kerajaan perlu tahu tidak semua penduduk sekitar Klang mampu membeli kereta.

Katanya, dengan adanya LRT di Stesen Bandar Botani, ia dapat membantu rakyat untuk ulang alik ke tempat kerja atau keluar ke laluan yang ditetapkan dengan mudah apabila terdapat kenderaan awam yang disediakan hingga ke luar bandar.

“Kerajaan perlu lihat bagaimana Jepun menguruskan sistem kereta api mereka tepat waktu pada waktu kemuncak. Tambahan, mereka juga perlu tahu jika bilangan penumpang bertambah, bagaimana mereka perlu atasi, jika kerajaan mahu mengurangkan kapasiti keretapi,” katanya.

Prasarana akur pengurangan kos projek LRT3

Shahril Hamdan bidas ‘helah’ penjimatan LRT3

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.